BURUNG unta tidak boleh terbang tetapi handal berlari.
BURUNG unta tidak boleh terbang tetapi handal berlari.
Nurul Husna Mahmud


SATU perdebatan mengenai burung unta ialah adakah unggas itu sesuai ditunggang kerana ada ladang menawarkan pengalaman itu?

Malah pusat penternakan dan pembiakan komersial utama burung eksotik di Oudtshoorn, Afrika Selatan juga menjadikan aktiviti itu sebagai pengalaman unik boleh dicuba pengunjung yang memenuhi kriteria tertentu.

Realitinya burung terbesar di dunia itu tidak memiliki kapasiti atau kriteria seperti mana haiwan dibela untuk tunggangan.

Pendapat yang sama turut diluah pemilik haiwan eksotik yang juga pengusaha taman haiwan Animal Village Hot Spring Sungai Klah, Sungkai Perak, Muhammad Halim Zainal Abidin, 42, apabila melihat kepada ciri - ciri fizikal dimiliki burung itu bukanlah sesuai dijadikan haiwan tunggangan termasuklah mengangkut barang.

"Secara peribadi, saya berasakan burung unta amat tidak sesuai bagi aktiviti menunggang kerana spesies ini bukanlah haiwan berkaki empat yang mempunyai daya imbangan lebih stabil dan memiliki kekuatan memikul bebanan.

"Senario aktiviti menunggang burung unta dijalankan pusat haiwan tertentu boleh mengundang kecederaan kepada haiwan dan penunggang sekiranya keseimbangan tidak berlaku.

"Tambahan pula sifat semula jadi haiwan termasuklah burung terbabit yang tidak boleh toleransi kepada kesakitan mendorong kepada perlakuan agresif.

"Burung unta walaupun sudah dijinakkan atau terlatih masih boleh menendang atau 'menghumban' penunggang ke tanah andai ia berasa sakit dan tertekan," katanya.

Aktiviti menunggang burung unta boleh menyebabkan kecederaan kepada unggas berkenaan.

Antaranya kecederaan dialami burung unta ialah masalah tulang rapuh, kecederaan ligamen dan tendon, otot kejang serta kesakitan sendi.

Tambah Muhammad Halim, burung unta perlu dipelihara mengikut tujuannya iaitu sebagai haiwan peliharaan atau ternakan.

"Bagi peminat haiwan eksotik burung unta memiliki keistimewaan berdasarkan susuk tubuh yang tegap dan unik.

"Malah saiznya yang besar berbanding spesies burung tetapi hanya mempunyai dua jari di hadapan setiap kaki juga antara koleksi haiwan unik perlu dimiliki.

"Penjagaan burung unta juga sesuai dengan cuaca di Malaysia dan spesies unggas itu tidak mudah dijangkiti penyakit kronik.

"Namun pemiliknya masih perlu sediakan sangkar kurungan yang luas sesuai dengan saiz burung itu. Pastikan juga sangkar berbumbung sedikit untuk perlindungan burung unta daripada panas dan hujan lebat," katanya.

Burung unta seronok dipelihara atau ditonton kerana terdapat beberapa karakter menarik terdapat pada spesies burung terbabit.

"Keletah burung itu cukup menghiburkan terutama ketika aksi burung itu berlari dengan kaki dan tengkuknya yang tinggi.

"Paling menarik apabila tiba musim mengawan yang mana burung unta jantan cuba memikat burung betina dengan tarian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 6:45 AM