PERLUMBAAN burung unta nyata sesuatu yang cukup mencuit hati dan menceriakan suasana.
PERLUMBAAN burung unta nyata sesuatu yang cukup mencuit hati dan menceriakan suasana.
Suliati Asri


Video burung unta berlari di Lebuhraya Persekutuan yang viral di laman sosial Facebook baru-baru ini nyata mendapat perhatian umum.

Kelajuannya berlari nyata membuatkan ramai yang terpegun dek tidak pernah menyaksikan sendiri burung gergasi itu berlari.

Namun, di Jelita Ostrich Farm, anda bukan saja berpeluang mendekati si burung unta ini tetapi berpeluang menyaksikan perlumbaan burung unta yang cukup menyeronokkan.

Dibuka pada 1997, Jelita Ostrich Farm di Jalan Pantai, Seremban ini memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri antara burung terbesar di dunia serta mengenali lebih dekat haiwan unik ini.

Ini kerana burung unta haiwan unik yang sangat sensitif. Ia suka dibelai, tetapi bertindak agresif jika berasa dirinya diganggu.

Persekitaran yang tenang dengan kehijauan kawasan sekeliling membuatkan penerokaan di ladang ini cukup mendamaikan.

Selain mengenali dengan lebih dekat burung unta ini, pengunjung juga berpeluang melihat sendiri dan berdiri di atas telur burung unta yang sememangnya cukup mengujakan.

Kuat. Ya, walaupun berapa ramai yang berdiri di atas telur burung unta itu, ia tidak pecah sekali gus membuktikan ketahanannya selain bersaiz besar.

Menunggang burung unta antara aktiviti yang cukup menyeronokkan menanti di Jelita Ostrich Farm ini.

Namun, sebelum menunggangnya, pengunjung perlu mendengar taklimat cara yang betul untuk duduk di atas burung unta.

Ini kerana jika tersalah teknik, pengunjung boleh jatuh.

Sebagai bukti keberanian pengunjung menunggangnya, pengurusan ladang itu memberi sijil penghargaan sebagai kenang-kenangan.

Selesai menguji keberanian menunggang si burung unta, melihatnya berada di gelanggang balapan pula cukup mengujakan.

Punya trek tersendiri, perlumbaan burung unta yang diadakan di Jelita Ostrich Farm ini cukup mencuit hati.

Pengunjung nyata berpeluang melihat kelajuan si burung unta dan kecekapan si pengendalinya yang juga memainkan peranan dalam perlumbaan itu.

Perlu diingat, perlumbaan itu semata-mata untuk hiburan dan menunjukkan satu lagi keunikan si burung unta ini.

Justeru, bagi anda yang ingin melihat sendiri keunikan dan mendekati burung unta ini dengan lebih dekat, Jelita Ostrich Farm dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Kunjungan ke ini sememangnya berbaloi buat anda sekeluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 11:52 AM