PINTU gerbang mengamit pengunjung ke Kolam Air Panas Kerling.
PINTU gerbang mengamit pengunjung ke Kolam Air Panas Kerling.
RUANG letak kereta yang luas memudahkan pengunjung meletakkan kenderaan.
RUANG letak kereta yang luas memudahkan pengunjung meletakkan kenderaan.
SUASANA damai di Kolam Air Panas Kerling.
SUASANA damai di Kolam Air Panas Kerling.
KANAK-KANAK gembira dapat menikmati kesejukan air sungai di tepi kolam air panas.
KANAK-KANAK gembira dapat menikmati kesejukan air sungai di tepi kolam air panas.
Rosman Shamsudin

Ramai tidak menyedari di Kampung Air Panas, Kerling, Hulu Selangor terdapat destinasi pelancongan menarik untuk dikunjungi dan bersantai bersama keluarga terutama pada hujung minggu sambil menikmati keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara.

Destinasi yang dimaksudkan adalah Kolam Air Panas Kerling kira-kira lima kilometer dari Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur.

Jika menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan, anda boleh menggunakan susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim sebelum belok ke kanan arah Kuala Kubu Baru.

Apabila melewati kawasan kampung, pengunjung pasti menempuh kawasan perumahan berlatar belakang hutan simpan dan dinasihatkan membunyikan hon kenderaan apabila melalui kawasan bertar yang berselekoh dan sempit kira-kira 1,000 meter untuk tujuan keselamatan.

Kolam air panas ini unik kerana terletak di tepi Sungai Kerling dengan aliran sungai jernih dari Banjaran Titiwangsa menyebabkan pengunjung terasa damai.

Tidak hairanlah ia menjadi tarikan pelancongan pada hujung minggu terutama dalam kalangan pencinta alam.

Ruang tempat letak kereta yang luas dan kemudahan lengkap memberi keselesaan kepada pengunjung berehat sambil bersantai bersama keluarga selepas menikmati terapi semula jadi di kolam air panas itu.

Sampai di destinasi, pengunjung perlu menyeberangi sungai menggunakan jambatan untuk ke kolam air panas yang dibina penduduk kawasan itu pada tahun 1990 apabila menyedari ia bakal menjadi tarikan pelancong.

Kolam yang kini dibina konkrit sentiasa dijaga Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Pengunjung boleh mandi atau berendam dan menikmati wap air panas hingga berpeluh secara semula jadi. Kehijauan hutan simpan di sekeliling kawasan itu juga tidak kurang menariknya.

Bagi yang gemar menikmati air sejuk, bolehlah mandi-manda di sungai bersebelahan kolam air panas dan sekitar kawasan itu.

Aliran airnya yang cetek sudah pasti membuat pengunjung terutama kanak-kanak teruja.

Tiada bayaran masuk dikenakan dan pengunjung boleh menggunakan pondok rehat di sekitar kolam dan tepi sungai untuk menikmati juadah yang dibawa dari rumah.

Anda dinasihatkan membawa bekalan makanan kerana kawasan ini tiada restoran.

Bagi kaki pancing, anda boleh membawa joran kerana di sungai ini ada pelbagai spesies ikan besar.

Biasanya pemancing meredah belukar kecil untuk memancing kawasan hulu sungai sedikit jauh dari kawasan itu.

Pengunjung dinasihatkan menjaga kebersihan bagi mengelakkan kawasan ini tercemar.

Bagi pencinta alam, anda boleh menerokai kawasan hutan simpan itu kerana banyak spesies hidupan terutama pokok berusia ratusan tahun masih terdapat di kawasan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 10:49 AM