PERMANDANGAN mengasyikkan di kawasan sekitar sungai.
PERMANDANGAN mengasyikkan di kawasan sekitar sungai.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Detik yang amat dinantikan peminat sukan lasak adalah sebaik diumumkan kebenaran melakukan aktiviti sukan, rekreasi dan riadah baru-baru ini.

Kebenaran itu dikhususkan kepada semua individu yang sudah lengkap divaksinasi dan dalam daerah sama membolehkan peminat aktiviti ekstrim kembali memenuhi hobi terluang dengan aktiviti yang digemari.

Peluang itu tidak dilepaskan peminat aktiviti merentas denai, Ardyhansah Amat, 37, apabila memilih Hutan Simpan Tajong di Tawau, Sabah sebagai lokasi bersantai bersama keluarga pada hujung minggu.

Katanya yang juga mesra disapa Ardy, taman negara itu sering menjadi tumpuan warga kota Tawau kerana terletak hanya kira-kira 20 hingga 30 minit pemanduan.

"Sebelum pandemik, memang ramai yang datang ke lokasi ini untuk beriadah bersama keluarga. Kedudukan hutan simpan itu juga terletak tidak jauh dari pekan Tawau.

"Ia menjadi tumpuan mereka yang suka menikmati keindahan alam semula jadi untuk berkunjung dan bersantai bersama keluarga. Hutan itu juga memiliki kemudahan jalan atau trek yang boleh diakses peminat aktiviti basikal.

"Kawasan ini juga mempunyai ruang parkir yang selesa. Jadi, orang ramai tidak perlu berebut atau datang awal pagi semata-mata untuk mendapatkan 'spot' yang baik.

"Untuk datang bersama keluarga, kawasan rekreasi ini juga sesuai kerana treknya yang jelas dan ada sebahagiannya sudah berturap dengan batu dan simen. Jadi, bagi anak-anak kecil sudah semestinya selamat," katanya.

Tambah Ardyhansah lagi, percutian ke pusat riadah itu turut disertai sembilan ahli keluarga lain termasuklah sepupu dan anak saudaranya yang berusia lebih kurang 12 tahun untuk menikmati pemandangan alam semula jadi.

"Kunjungan kali ini hanya untuk bersantai bersama keluarga di salah satu 'port' yang terdapat dalam hutan simpan berkenaan. Kawasan terbabit terletak kira-kira satu kilometer dari tempat parkir.

"Dari segi laluan untuk ke kawasan air terjun itu tidaklah sukar selain hanya menyusuri denai yang mudah. Kebetulan cuaca juga tidak hujan dan terdapat pokok-pokok hutan yang besar menjadi kanopi menyebabkan keadaan ketika itu redup sahaja.

KAWASAN berkolam.
KAWASAN berkolam.

"Lebih kurang 10 minit berjalan kaki, sudah boleh sampai. Air terjun juga tidak begitu keruh kerana cuaca hari sebelumnya tidak hujan. Kawasan air terjun di sini sesuai untuk 30 hingga ke 50 orang untuk bermandi-manda," katanya.

Tambah Ardyhansah lagi, kunjungan ke hutan simpan terbabit adalah pertama kali. Berbanding melakukan aktiviti mendaki di kawasan berbukit dia hanya berehat dan berkelah di kawasan air terjun terbabit.

"Sebenarnya di lokasi ini juga boleh lakukan aktiviti mendaki dan juga berbasikal. Kalau mendaki difahamkan oleh sepupu, ada laluan mendaki untuk sampai ke Bukit Tiga.

"Laluan ini juga turut popular untuk aktiviti berbasikal bukit. Bukit tiga ini merujuk kepada struktur muka bumi laluan mendaki naik dan turun membabitkan tiga puncak sederhana tinggi.

"Selain 'port' mandi-manda itu, ada lima lagi 'port' air terjun menyusur laluan ke bukit itu boleh ditemui pengunjung yang mendaki atau menyusuri Hutan Simpan Tajong," katanya yang turut merakam panorama sekitar selain bermandi-manda.

"Keistimewaan 'port' di sini ialah adanya jeram batu setinggi 10 meter yang boleh memberi panorama menarik ketika merakam gambar. Keadaannya yang mempunyai kolam juga membuatkan ia nampak indah dalam gambar," katanya.

Selain Hutan Simpan Tajong, di Tawau juga terdapat beberapa lokasi menarik untuk pencinta alam termasuklah Taman Bukit Tawau atau Columnar Basalt Balung Cocos Sungai Giram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 6:45 AM