PAYET (dua dari kiri) ledak gol kemenangan Les Bleus.
PAYET (dua dari kiri) ledak gol kemenangan Les Bleus.
AFP

Nantes, Perancis: Pemain West Ham Dimitri Payet menjaringkan gol menerusi sepakan percuma menarik pada minit terakhir perlawanan bagi membantu tuan rumah Euro 2016 Perancis mengatasi Cameroon 3-2 semalam.

Pemain tengah menyerang itu tampil mengambil sepakan percuma pada minit terakhir perlawanan dan berjaya mengatasi penjaga gol Cameroon Fabrice Ondoa.

Perancis membuka jaringan menerusi pemain Paris Saint-Germain Blaise Matuidi sebelum Cameroon mengikat kedudukan hasil rembatan penyerang Porto Vincent Aboubakar.

Penyerang Arsenal Olivier Giroud memberikan kelebihan sekali lagi buat tuan rumah sejurus sebelum rehat tetapi Cameroon menjaringkan gol kedua menerusi Eric Choupo Moting.

“Ada perkara yang saya boleh tingkatkan tapi ia perlawanan pertama kami selepas ramai pemain tidak bermain pada aksi kompetitif,” kata jurulatih Perancis Didier Deschamps.

“Ia perlawanan pertama yang menyaksikan Adil Rami dan Laurent Koscielny bermain bersama selepas lama tidak bergandingan dan kami semakin hampir mencapai tahap pasukan berkualiti.

“Cameroon bermain dengan sistem baru yang memberi penekanan kekuatan serta kepantasan di tengah dan depan,” kata Deschamps sambil menambah: “Saya tidak mengharapkan anak buah saya sempurna ketika ini tapi yang penting semangat mereka.”

Jurulatih Cameroon Hugo Broos berkata: “Bagi saya, keputusan perlawanan sepatutnya 2-2 kerana kami hanya ditewaskan oleh sepakan percuma menarik Dimitri Payet dan dia memang berbakat.

“Pemain saya boleh berbangga dengan prestasi mereka. Saya harap kami dapat mengekalkan semangat sama apabila menentang Mauritania (kelayakan Piala Negara-Negara Afrika).”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 9:13 AM