DESCHAMPS (kiri) meraikan jaringan Payet.
DESCHAMPS (kiri) meraikan jaringan Payet.
Reuters

Paris: Jaringan menakjubkan lewat permainan Dimitri Payet membolehkan Perancis mencatat kemenangan 2-1 ke atas Romania dalam aksi Kumpulan A kelmarin, sekali gus menyaksikan tuan rumah bermula dengan langkah kanan.

Payet bertindak sebagai ketua penyiksa di Stade de France apabila dia juga berjaya melakukan hantaran kepada Olivier Giroud untuk gol pembukaan selepas rehat dan selepas itu melepaskan rembatan lencong kaki kiri yang menuju ke sudut pintu gol lawan ketika perlawanan berbaki satu minit untuk tamat.

Sebelum itu Romania berjaya menyamakan kedudukan untuk 1-1 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Bogdan Stancu.

Selepas mendominasi lawan mereka dalam perlawanan pemanas badan sebelum ini, pasukan bimbingan Didier Deschamps gagal untuk menguasai separuh masa pertama, dalam aksi kompetitif sulung mereka selepas dua tahun.

Mereka seolah-olah hampir mencatat keputusan seri pada aksi pembukaan kejohanan itu sebelum Payet membawa bola ke bahagian sayap kanan, masuk ke bahagian dalam dan melepaskan rembatan luar biasa untuk menggembirakan penyokong sendiri.

Pemain tengah West Ham itu yang tidak dijanjikan tempat dalam skuad Perancis beberapa bulan sebelum ini, berjalan keluar padang dengan linangan air mata dan diberikan penghormatan oleh penyokong berikutan aksi bertaraf dunia itu.

“Romania memberikan kesukaran buat kami dan ia menyebabkan kami perlu mengambil sedikit masa terutama sekali ketika ada terlalu banyak emosi.

“Hadir perlawanan malam ini (kelmarin) dan menjaringkan gol adalah kesan daripada kerja keras serta pengorbanan.

“Saya tidak pernah terfikir sejak dari awal musim untuk berada di sini, memang terdapat sedikit tekanan sebaik tiba di stadium tapi saya hadir untuk berseronok,” kata Payet.

Perancis bermula dengan agak goyah sebelum penjaga gol, Hugo Lloris menyelamatkan percubaan Stancu pada minit keempat.

Bagaimanapun, mereka berjaya memberi tindak balas pada minit ke-11 apabila tandukan Giroud hasil hantaran lintang Payet sedikit tersasar.

Kekurangan dari segi kepantasan dan naluri pemusnah yang sebelum ini membantu mereka memperoleh 13 gol dalam empat perlawanan terdahulu, menyaksikan Les Bleus sedikit tertekan walaupun sebelum ini mereka mudah mengalahkan Romania.

Pada minit ke-57 Payet melakukan hantaran lintang ke dalam petak penalti dengan penjaga gol Romania, Ciprian Tatarusanu cuba menangkap bola itu tetapi tandukan Giroud membolehkan dia meraih gol kelapan di peringkat antarabangsa dalam enam perlawanan.

Lapan minit kemudian Stancu diberikan peluang menyamakan kedudukan selepas Patrice Evra melakukan kekasaran ke atas Nicolae Stanciu dan Stancu tenang menyempurnakan sepakan penalti.

Perancis sekarang ini berada di tangga teratas Kumpulan A dengan tiga mata sebelum bertemu Albania Rabu ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:05 AM