PAK Nil.
PAK Nil.
Syanty Octavia Amry


Teruja saat diberi peluang menggembara ke Amerika Syarikat menerusi program Paknil Tawan Hollywood, pengacara Datuk Aznil Nawawi berharap diberi peluang itu sekali lagi.

Menerusi kerjasama dengan saluran E!, Paknil berharap jika peluang itu datang lagi dia mahu mengendalikan sebuah program bual bicara yang dihadiri ramai penonton.

Menerusi program itu, dia dapat memperkenalkan budaya unik di Asia seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan sekitarnya.

“Alhamdulillah saya tidak menyangka diberi peluang oleh E! untuk mengacarakan program seperti ini. Selepas kejayaan beberapa program yang pernah saya kendalikan di Los Angeles dan menemu bual beberapa personaliti terkenal pada acara karpet merah Academy Awards ke-88 di Dolby Theatre, California, saya dipelawa untuk program ini.

“Mungkin kerana menjadi diri sendiri dengan gaya dan personaliti saya mereka tertarik melakukan kerjasama ini. Saya juga tidak menyangka berada di bawah naungan Astro mereka sudi memberikan kerjasama dan harapan saya impian mengacarakan program sendiri di sana terlaksana,” katanya.

Paknil Tawan Hollywood disiarkan secara eksklusif di slot hlive! pada 24 Mei lalu jam 8.30 malam menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD.

Dalam program itu, Paknil turut melawat ibu pejabat E! di Hollywood dan berpeluang bekerjasama dengan hos popular Erin Lim.

Selain itu, Paknil turut menemu bual penyanyi Malaysia yang sedang mencipta nama di sana iaitu Yuna, pelakon Indonesia, Peter Adrian Sudarso dan pemilik restoran Hutchinson yang terkenal, Ian Hooper.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan mereka, Paknil mengakui tiada jurang malah cara kerja di sana juga sama dengan Malaysia.

“Saya membawa nama Malaysia di sana. Oleh itu saya memastikan disiplin diri dengan sentiasa hadir lebih awal sebelum penggambaran bermula.

“Begitu juga dengan cara dan budaya, saya membawa cara Malaysia di sana. Seperti apabila bertemu saya bersalam dengan semua.

“Ketika duduk makan semeja, saya mengambil makanan daripada pinggan kawan lain. Walaupun pada awal mereka agak pelik, akhirnya masing-masing suka untuk mencubanya,” katanya yang mengambil masa dua hari penggambaran menyiapkan program itu.

Terdahulu, Paknil sebelum ini pernah menempa kejayaan menerusi Selfie Paknil di LA yang berjaya merangkul pingat emas untuk kategori Best Media Solution -TV: Online Video di Sparks Awards 2015 yang lalu.

Kemudian dia diberi peluang mewakili Malaysia menerusi program Pak Nil Goes To Hollywood.

Menerusi program itu beliau menemu bual selebriti bertaraf antarabangsa seperti Kim Kardashian, Christina Milan dan personaliti fesyen serta hos program E! Hollywood iaitu Giuliana Rancic.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 9:49 AM