HANI akui saingan dunia penyiaran radio semakin sengit.
HANI akui saingan dunia penyiaran radio semakin sengit.
Syanty Octavia Amry


Sedar cabaran dunia penyiaran radio semakin sengit dengan adanya stesen radio baru, Hani Fadzil, 24, nekad bekerja keras mengukuhkan namanya.

Juara pertandingan Penyampai Top Malaysia Era FM, Hani atau nama sebenarnya, Intan Farhani Mohd Fadzil ini mahu dirinya terus diterima peminat.

“Tidak saya nafikan apabila munculnya stesen radio baru semakin ramailah penyampai radio yang ada.

“Terasa saingan itu namun saya perlu akur dan bersiap sedia untuk melakukan apa saja bagi memenangi hati pendengar.

“Selain itu, saya perlu turun padang bertemu peminat dan beramah mesra dengan mereka bagi mengeratkan lagi hubungan kami,” katanya.

Tidak hanya bertugas di konti, Hani juga mahu bergiat aktif sebagai pengacara.

Dia yang terlebih dulu membabitkan diri dalam dunia pengacaraan menerusi program Majlis di Astro Ria berharap dapat beraksi di kaca TV semula.

Gembira tiada sekatan daripada pengurusan, Hani mengacarakan program Rojak di saluran Hypp TV dan bergandingan dengan Nabil Mahir.

“Alhamdulillah saya dapat melakukan dua bidang yang saya minati. Selagi apa yang saya lakukan tidak mengganggu jadual kerja radio, tiada masalah.

“Sekurang-kurangnya saya dapat menimba lebih banyak pengalaman,” katanya.

Berharap diberi peluang mengendalikan program travelog dan masakan, Hani berkata dia gemar melancong dan makan.

“Saya memang teringin mengacarakan dua program ini terutama masakan. Mungkin pengalaman menetap di luar negara ketika menyambung pelajaran membuatkan saya mahir memasak.

“Banyak menu baru berjaya saya hasilkan dan boleh dikongsi jika berpeluang mengacarakan program masakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 9:21 AM