Nor Azura Abdul Jalil


Petaling Jaya: Pengerusi Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad (KPHPB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM1.52 juta, tiga tahun lalu.

Datuk Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mohd Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang masing-masing RM600,00; RM600,000 dan RM320,000 melalui cek di dalam akaun milik KPHPB.

Ketiga-tiga perbuatan itu didakwa dilakukan di Hong Leong Bank Berhad, No 8 & 10, Jalan 3/50C, Taman Setapak Indah Jaya, Off Jalan Genting Klang, dekat sini masing-masing pada 26 November dan 29 November 2013 serta 5 Februari 2014.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan pada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 12:10 PM