FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


KETUA jururawat dan adik iparnya dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berasingan, hari ini, masing-masing atas pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM1 juta, dua tahun lalu.

Tertuduh Huziana Othman, 49, dan Noorashikin Azmi, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah dan Hakim Allaudeen Ismail.

Pada prosiding di hadapan Madihah, Huziana yang bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang berjumlah RM500,000 dari akaun Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad miliknya, ke akaun Koperasi Amanah Pelaburan Berhad juga miliknya, yang mana ia adalah hasil daripada aktiviti haram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Koperasi Amanah Pelaburan Berhad, Tingkat 10, Menara 2, Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada 13 Jun 2016.

Sementara itu, di hadapan Allaudeen, Noorashikin pula didakwa atas pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang berjumlah RM500,000 dari akaun Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad miliknya ke akaun Koperasi Amanah Pelaburan Berhad miliknya di tempat yang sama pada 19 April 2016.

Noorashikin yang tidak bekerja juga didakwa atas pertuduhan membabitkan diri dalam transaksi yang membabitkan hasil daripada aktiviti haram iaitu menerima wang berjumlah RM28,324.50 dari akaun Public Islamic Bank Berhad milik syarikat Techies Two Sdn Bhd ke akaun simpanan Affin Islamic Bank Berhad miliknya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Islamic Bank Berhad, Menara Affin, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur antara 28 Oktober 2016 dan 28 Mac 2017.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan masing-masing mengikut Seksyen 4(1)(b) dan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum bawah seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail menawarkan jaminan masing-masing RM200,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tertuduh dan memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk dibicarakan bersama kes serupa yang dihadapi mereka di sana.

Peguam Rahmat Mohamed Hazlan yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan rendah dengan mengambil kira mereka membayar jaminan RM200,000 untuk kes di Alor Setar selain masing-masing mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kes itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama kes lain di Mahkamah Sesyen Alor Setar serta menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 6:43 PM