Shukri akui tanggungjawab bertambah selepas mendirikan rumahtangga. FOTO NSTP
Shukri akui tanggungjawab bertambah selepas mendirikan rumahtangga. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Shukri Yahaya teruja apabila isterinya, Nurfatihah Ahmad Adnan, 24, atau Tya Adnan bakal melahirkan anak perempuan.

Shukri, 28, berkata, usia kandungan isterinya kini mencecah enam bulan dan dijangka akan bersalin pada hujung Ogos nanti.

"Ini satu lagi khabar gembira buat kami sekeluarga. Selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan anak kami adalah perempuan. Saya sentiasa berdoa semoga isteri dan anak yang bakal lahir sentiasa dalam keadaan sihat.

"Selepas berkahwin, tanggungjawab saya bertambah lagi. Sebagai bakal ibu bapa baru, ia memberikan satu lagi cabaran buat saya dan isteri," katanya.

Pelakon drama Suami Tanpa Cinta ini berkata, dia masih mencari nama yang sesuai buat cahaya mata yang bakal lahir.

"Selain sudah menyedikan beberapa keperluan utama anak, saya tidak ketinggalan membuat pilihan hospital untuk isteri bersalin.

"Dari segi kelengkapan barang anak, saya tidak mahu terlalu berlebihan sehingga wujudnya pembaziran. Cukup sekadar membeli apa yang diperlukan sesuai dengan usia yang baru lahir," katanya.

Shukri dan Tya yang juga pelakon filem Ular bernikah pada 20 November tahun lalu di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 11:29 PM