ISTERI, Tya Adnan selamat melahirkan bayi sulung perempuan, kelmarin.
ISTERI, Tya Adnan selamat melahirkan bayi sulung perempuan, kelmarin.
Syafil Syazwan Jefri


Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Itulah yang dirasai pelakon Shukri Yahaya, 28, selepas isterinya, Tya Adnan selamat melahirkan bayi sulung mereka di sebuah pusat perubatan di Cheras, Selangor, kelmarin.

Tya melahirkan bayi perempuan seberat 3.13 kilogram itu pada jam 12.22 tengah hari secara normal.

Shukri ketika dihubungi berkata, isterinya dimasukkan ke bilik bersalin jam enam pagi dan dia sendiri turut berada di samping isterinya sepanjang tempoh itu.

“Saya berada di sisinya memberi semangat di samping menenangkannya. Saya dapat lihat sendiri bagaimana susahnya seorang wanita melahirkan anak,” katanya.

Ditanya mengenai perasaannya, Shukri mengakui gembira, tetapi pada masa sama sebak dan gementar.

“Tentunya gembira dan pada masa sama gementar menantikan proses bersalin itu selesai. Insya-Allah kalau bayi kami dalam keadaan sihat, kami sekeluarga akan dapat pulang ke rumah,” katanya.

Terdahulu, Shukri berkongsi berita gembira itu di Instagram dengan memuat naik gambar dia bersama bayinya itu berserta status, “Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Allahuakbar.”

Shukri berkata, Tya akan menjalani tempoh berpantang secara tradisional selama 44 hari.

“Dalam tempoh itu, dia akan dijaga ibu saya di kediaman kami di Kajang,” katanya.

Belum merancang untuk mengadakan majlis akikah, Shukri juga akan memberi nama kepada bayi sulungnya itu selepas seminggu.

Menurutnya, walaupun keletihan kerana tidak tidur sejak Selasa lalu, dia tetap gembira kerana dia kini melangkah ke satu lagi fasa dalam hidupnya.

“Walaupun penat, semua itu tidak terasa kerana saya terlalu gembira dengan kelahiran ini. Saya bersyukur segalanya berjalan lancar. Saya kini bergelar bapa dan menggalas satu lagi tanggungjawab besar dalam keluarga,” katanya.

Bagi menguruskan isteri dan anaknya, Shukri akan bercuti selama 10 hari.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 15 No­vember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 9:03 AM