WAKAF eksklusif berbentuk chalet yang dihasilkan PSB.
WAKAF eksklusif berbentuk chalet yang dihasilkan PSB.
WAKAF kayu lama yang berkualiti.
WAKAF kayu lama yang berkualiti.
SARANG burung turut dihasilkan daripada kayu lama.
SARANG burung turut dihasilkan daripada kayu lama.
DINDING lama turut dijadikan sebagai bumbung wakaf.
DINDING lama turut dijadikan sebagai bumbung wakaf.
MOHD Fadli menunjukkan longokan kayu pain terpakai untuk dihasilkan perabot di kilangnya di Beranang.
MOHD Fadli menunjukkan longokan kayu pain terpakai untuk dihasilkan perabot di kilangnya di Beranang.
MOHD Fadli (kiri) berbincang dengan seorang pekerja bagi menghasilkan barangan daripada kayu pain terpakai.
MOHD Fadli (kiri) berbincang dengan seorang pekerja bagi menghasilkan barangan daripada kayu pain terpakai.
PEKERJA menyiapkan bangku rehat daripada kayu pain.
PEKERJA menyiapkan bangku rehat daripada kayu pain.
PEKERJA melakukan proses mencanai kayu.
PEKERJA melakukan proses mencanai kayu.
Samadi Ahmad


Kehadiran gazebo atau wakaf pada ruang taman lebih bermanfaat kerana ia bukan saja berfungsi mengindahkan suasana, malah melengkapkan majlis keramaian.

Namun tidak ramai berpeluang menempatkan binaan itu berdasarkan faktor tertentu, antaranya memerlukan bajet khusus untuk memilikinya.

Menyedari pentingnya binaan gazebo untuk ruang taman, Perniagaan Suhaimi Bersaudara (PSB) antara syarikat pembuatan landskap di Beranang, Selangor tampil berkongsi panduan.

Ia khususnya dalam pemilihan gazebo bagi memastikan kewujudannya dimanfaatkan sepenuhnya.

Pegawai Pemasaran PSB, Mohd Fadli Ayob berkata, dalam aspek seni bina, kayu material yang tidak pernah lapuk ditelan zaman walaupun pelbagai ciptaan dihasilkan masa kini.

“Kayu tetap menjadi pilihan, menyerikan kediaman selain tetap menjadi perhatian.

“Bagi yang berhajat mendirikan gazebo untuk kediaman masing-masing, PSB mampu merealisasikan impian itu dengan pelbagai bentuk diimpikan menggunakan kayu berkualiti terpakai dengan tawaran harga berpatutan,” katanya.

Mohd Fadli berkata, PSB yang berkecimpung dalam bidang itu sejak lima tahun lalu menggunakan kayu cengal, balam, kempas, resak, meranti, seraya dan merbau berikutan kualitinya yang tinggi.

Katanya, kebanyakan material itu kayu terpakai yang dibeli dan diambil sendiri di beberapa rumah terbiar yang ditinggalkan begitu saja oleh pemiliknya, selain mendapatkannya daripada pemborong.

“Kayu jenis ini sering digunakan untuk pembinaan kuarters dan rumah kampung. Apabila melihat ia terbiar, saya fikir elok dimanfaatkan semula untuk membina gazebo kerana kualitinya dan mampu dipasarkan dengan harga lebih rendah berbanding kayu baru.

“Ada pelbagai jenis gazebo ditawarkan antaranya berbentuk Minangkabau, piramid, Bali dan dua tingkat gazebo ala chalet,” kata Mohd Fadli.

Menurutnya, bagi menghasilkan sebuah gazebo ia mengambil masa kira-kira lima hingga dua minggu bergantung kepada reka bentuk dan permintaan pelanggan.

“Proses paling rumit dalam pembinaan gazebo ialah ketika mengukir yang membabitkan bahagian tiang, panel dinding dan tangga. Ia memerlukan kemahiran tinggi untuk mengukir bahagian dikehendaki.

“Biasanya ia membabitkan bentuk seni ukiran Nusantara dengan motif flora dan fauna serta dilengkapi atap genting tanah liat seperti pembinaan rumah lama,” katanya.

Melengkapkan dekorasi, PSB turut memperkenalkan perabot ‘custom-made’ daripada kayu pain terpakai yang dibeli secara borong dari kilang.

Ini kerana ia mempunyai nilai semula jadinya yang tersendiri melalui seni dan garisan yang terbentuk pada permukaan kayu itu, sekali gus menampilkan elemen artistik.

Selain itu, warna kekuningan yang terdapat padanya memudahkan ia dihasilkan dengan pelbagai jenis perabot untuk dijadikan sebagai idea kepada penggemar kayu pada kediaman mereka

Material itu semakin digemari pelanggan kerana kelihatan elegan dengan harga berpatutan.

Tambahan pula PSB menyediakan perkhidmatan rundingan mengikut kehendak pelanggan.

Dalam melengkapkan proses penghasilan, kayu pain dicanai terlebih dahulu supaya licin dan menarik, seterusnya disapu syelek.

Apabila selesai, ia ‘digubah’ supaya tahan lama dan tidak mudah dimakan anai-anai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:01 AM