RUMAH mini yang menerima tempahan pelanggan.
RUMAH mini yang menerima tempahan pelanggan.
RUMAH kayu mini persis rumah sebenar.
RUMAH kayu mini persis rumah sebenar.
SUSUNAN menarik seolah-olah pemandangan sebenar kawasan kampung.
SUSUNAN menarik seolah-olah pemandangan sebenar kawasan kampung.
KAYU dipotong kecil sebelum diikat dan diletakkan di bawah pokok pisang.
KAYU dipotong kecil sebelum diikat dan diletakkan di bawah pokok pisang.
Oleh Ashraf Shuib


Tersergam indah rumah kayu lama yang dihias seni ukiran indah beratapkan nipah. Kelihatan pada bahagian tangga, beranda dan tingkap yang kekal menggunakan kayu pasti mengembalikan nostalgia kita pada rumah kayu di kampung.

Jika melihat melalui gambar, akan timbul keinginan untuk menaiki tangga itu kemudian duduk di beranda sambil menikmati keindahan kampung sambil menerima hembusan angin sejuk yang menyapa muka.

Tetapi, keinginan itu hanya tinggal bayangan kerana rumah yang dimaksudkan adalah rumah replika, bersaiz kecil dengan ukuran 10 sentimeter x 15 sentimeter. Ia adalah ukiran kayu mini hasil sentuhan Sukri Romli, 40.

“Minat ini bermula sejak 10 tahun lalu. Ketika itu, saya juruelektrik yang banyak melakukan kerja pendawaian elektrik di rumah penduduk kampung.

“Kayu nipis digunakan sebagai tapak untuk melekatkan dawai elektrik. Saya tidak terus buang kebanyakan kayu itu, malah saya kumpul jika ia tidak digunakan lagi.

“Suatu hari, ketika melihat longgokan kayu itu, saya mendapat ilham untuk memotong dan melekatkan kepingan potongan kayu sehingga membentuk sebuah objek,” katanya.

Dia menjelaskan, aktiviti berkenaan mampu memberi ketenangan kepadanya selepas penat bekerja seharian sehingga meneruskan minat itu pada masa lapang.

Bertempat di Abi Kubang Badak, Perlis, Shukri membina bilik kecil di rumahnya sebagai bengkel. Kerja seninya bermula pada waktu malam kerana dia masih bekerja sebagai juruelektrik pada waktu siang.

Seni ukiran kayu yang dihasilkan berbentuk rumah lama, gazebo, tong pemukul padi, pembajak sawah dan terbaru, dia menghasilkan gazebo dihias cantik sebagai tempat meletak cincin untuk majlis pertunangan dan perkahwinan.

Tambah unik, hasil kerja seninya dibina menggunakan kayu terpilih seperti kayu getah, kayu nangka, sentang, mahogani, saga rimba dan kemuning.

“Saya mencari sendiri kayu di kawasan lereng bukit di sekitar Perlis.

“Kayu itu kemudian dibelah dengan menggunakan mesin dan gergaji tangan. Selepas dipotong dan diikat, ia akan diletakkan di bawah pokok pisang selama dua minggu kerana keadaan lembap membuatkan kayu tidak bengkok,” katanya.

Dia pernah dicalonkan sebagai peserta akhir Jejak Inovasi 2012 mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan anjuran Yayasan Inovasi Malaysia.

Kayu akan dilicinkan dengan kertas pasir. Untuk kayu keras seperti kemuning dan saga rimba, selepas dilicinkan dengan kertas pasir, ia akan dilicinkan pula dengan daun lalang bertujuan mengilatkan lagi permukaan kayu itu. Sebuah rumah mini mengambil masa seminggu untuk disiapkan.

“Ukuran dan ukiran perlu dilakukan dengan teliti pada setiap bahagian supaya ia seimbang dan tepat dengan binaan sebenar tetapi dalam skala yang lebih kecil.

“Seterusnya, bahagian itu digamkan antara satu sama lain dan perlu kelihatan kukuh supaya tidak mudah tertanggal.

“Masjid berlampu antara karya yang paling lama untuk disiapkan iaitu sekitar enam bulan.

“Ia dilakukan secara beransur-ansur dan sudah pasti memerlukan kesabaran yang tinggi,” katanya yang menerima nasihat dan bantuan daripada Yayasan Inovasi Malaysia, Jabatan Pertanian Perlis, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Perlis dan Langkawi.

Bercerita lanjut mengenai hasil kerja seninya itu yang dulunya dilakukan untuk mengisi masa lapang, kini bertukar sebagai pendapatan sampingan.

“Saya menjual sendiri hasil kerja saya pada hujung minggu di Wang Kelian dan expo yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia seperti di Langkawi dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Pelanggan berminat membelinya untuk dijadikan perhiasan rumah atau hadiah.

“Ada juga peniaga yang membeli hasil kerja saya, kemudian dijual di kedai mereka seperti di Langkawi,” cerita Sukri yang boleh dihubungi menerusi Facebook, Tiangseribu untuk memudahkan pelanggan melihat kerja yang pernah dihasilkan.

Rumah, masjid dan perabot kayu mini itu dijual serendah RM80 mengikut tahap kesukaran pembuatan dan jenis kayu digunakan.

Sukri turut menghasilkan ukiran kayu mengikut tempahan pelanggan.

“Ada pelanggan memberi gambar rumah lama mereka untuk saya bina rumah kayu mini bagi mengabadikan nostalgia rumah itu.

“Semestinya sukar untuk meniru semuanya sekali tetapi saya cuba sedaya upaya menghasilkan rumah yang seakan-akan dalam gambar diberi pelanggan,” katanya yang turut menerima komentar positif daripada beberapa pelanggan.

“Ada pelanggan berasa tenang selepas melihat rumah mini yang dibeli daripada saya, malah ia turut mengimbau kembali kenangan lama mereka di rumah kampung semasa kecil.

“Pelanggan itu membuka pintu serta tingkap rumah mini dan membayangkan seperti berada di dalam rumah berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 2:17 PM