HASIL seni ukiran kayu terbuang mempunyai nilai estetika.
HASIL seni ukiran kayu terbuang mempunyai nilai estetika.
UKIRAN tampil dalam bentuk moden.
UKIRAN tampil dalam bentuk moden.
UKIRAN daun teratai.
UKIRAN daun teratai.
MAZLAN bersama hasil seni yang dihasilkanya berasaskan kayu terbuang.
MAZLAN bersama hasil seni yang dihasilkanya berasaskan kayu terbuang.
Oleh Samadi Ahmad


Hasil seni memang tidak terbatas kepada penggemarnya saja kerana kreativiti mengubah bahan terbuang menjadi produk eksklusif mampu memberi pulangan lumayan.

Kayu terbuang mungkin kurang menarik bagi sesetengah orang, tetapi tidak bagi Mazlan Ahmad, 27.

Anak muda ini mempunyai idea unik untuk menterjemahkan karyanya sebagai tarikan luar biasa.

Beliau mengakui kayu terbuang ada kelainan kerana setiap kepingannya boleh dijadikan lukisan arca menarik selain mengekalkan bentuk semula jadi.

Anak kelahiran Kampung Air Hangat, Langkawi, ini berkata, hobi mengukir arca kayu bermula sejak kecil apabila mendapati banyak kayu terbiar di tepi pantai dan pokok ditebang tapi ditinggalkan begitu saja.

“Sejak di bangku sekolah rendah saya sudah meminati bidang seni dan mula menyimpan impian mempelajarinya hingga berjaya satu hari kelak.

“Jika digunakan dengan cara betul, kayu terbuang boleh diperbaharui dengan sentuhan kontemporari.

“Saya lebih gemar memilih unsur alam semula jadi seperti ombak, pasir, ikan, pemandangan pantai dan tumbuh-tumbuhan,” katanya yang suatu masa dulu pernah mendapat bimbingan di Institut Kraf Negara (IKN), Rawang dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Ukiran yang dihasilkan Mazlan biasanya sesuai dijadikan perhiasan dinding, meja dan bidai.

Kini produknya bertaraf dunia kerana sudah meneroka jauh ke luar negara seperti Singapura, Iran, China, Jepun dan United Kingdom.

Pemilik syarikat Bidai Artworks di Langkawi ini juga banyak mendapat bimbingan daripada abang iparnya, Yusra Din.

Mencintai keindahan alam dan peka dengan persekitaran banyak membantu Mazlan menggarap ukiran sebaik mungkin.

Bagaimanapun, menurut Mazlan, tidak semua kayu sesuai dijadikan ukiran. Ia kebanyakannya membabitkan jati, serian, mahagoni dan sena.

Ini kerana kayu daripada jenis ini mempunyai urat yang cantik, menarik, tahan lasak dan kurang terdedah kepada serangan anai-anai.

Bagi menyiapkan hasil seninya, kira-kira satu hingga dua minggu masa diambil bermula dengan proses membersihkan kayu, melakar, mengukir dan akhirnya mewarna yang memerlukan ketelitian serta kegigihan.

Ketika ditanya perancangan masa hadapan anak muda berwawasan ini berazam untuk lebih serius menceburi bidang itu.

Ini termasuk membuka galeri pameran sendiri di Pulau Legenda tempat kelahirannya dan mengadakan bengkel mengajar kepada golongan muda yang berminat.

Namun masih kekurangan modal dan memerlukan penajaan bagi mengembangkan hasil seni kreatifnya itu.

Kini Mazlan turut menyertai Hari Kraf Kebangsaaan 2016 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur yang berlangsung hingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 8:17 AM