Antara penunggang motosikal yang ditahan polis bagi pemeriksaan ketika operasi di Melaka baru-baru ini. - Foto Fail
Antara penunggang motosikal yang ditahan polis bagi pemeriksaan ketika operasi di Melaka baru-baru ini. - Foto Fail
BERNAMA

Gua Musang: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) meminta orang ramai mengurangkan penggunaan motosikal untuk bersiar-siar bagi mengelak kemalangan maut yang semakin meningkat.

Ketua Pengarah JKJR Abd Ghafar Yusof berkata, 62 peratus daripada 6,706 kes kemalangan maut tahun lalu, membabitkan motosikal.

"Kita mahu perkara ini diberi perhatian kerana jika kita berjaya mengurangkan penggunaan motosikal 10 peratus, kita jangka dapat selamatkan 400 nyawa setahun.

"Penggunaan motosikal bukan dihalang kerana ada keluarga memiliki kenderaan itu saja, namun penggunaannya hanya bila perlu bagi mengelak risiko kemalangan," katanya selepas merasmikan Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya di sini, hari ini.

Abd Ghafar berkata ibu bapa perlu melengkapkan anak-anak kecil mereka dengan topi keledar bagi mengelak risiko kehilangan nyawa ketika kemalangan.

"Topi keledar untuk kanak-kanak juga perlu mempunyai tahap keselamatan dibenarkan bagi mengelak ia pecah ketika kemalangan," katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya melarang anak mereka yang tidak mempunyai lesen daripada menunggang motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 9:12 PM