Oleh Muhammad Saufi Hassan

Gombak: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) belum berhasrat untuk menguatkuasakan penggunaan kerusi bayi, namun cadangan itu akan diperhalusi bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarahnya, Abd Ghafar Yusof berkata, cadangan itu baik untuk meningkatkan lagi keselamatan tetapi ia masih belum dibincangkan secara terperinci sama ada pada peringkat jabatan atau kementerian.

"Cadangan untuk menguatkuasakan kerusi bayi ini bagus kerana kita dapat mengurangkan risiko kemalangan jalan raya bagi ibu-ibu yang gemar memangku anak di tempat duduk hadapan.

"Tindakan itu berisiko untuk mengundang kecederaan kepada bayi malah meragut nyawa. Bagaimanapun, kita juga akui bahawa kerusi bayi ini agak mahal sehingga ada yang mencecah ribuan ringgit," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata, demikian selepas majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Selangor sempena Aidilfitri yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Zaidy Abdul Talib.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2015 @ 6:43 PM