Nabihah Kamal


SYARIKAT pengeluar topi keledar antarabangsa, SHOEI Japan Co Ltd ‘mula bersuara' berikutan penjualan topi keledar tiruan jenama itu yang berleluasa di negara ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan syarikat Sinar Puncak Sdn Berhad selaku pengedar topi keledar SHOEI di negara ini, penggunaan topi keledar tiruan jenama itu tidak selamat digunakan.

"Topi keledar dan visor adalah bahagian paling penting yang dititikberatkan oleh syarikat ini bagi melindungi keselamatan pengguna. Bagi penghasilan topi keledar yang berkualiti, pihak syarikat menghasilkan topi keledar yang mematuhi standard keselamatan antarabangsa serta diiktiraf oleh kebanyakan negara di seluruh dunia," katanya.

Menurutnya, topi keledar tiruan yang menggunakan jenama SHOEI itu tidak melalui ujian keselamatan.

"Kami sudah menjalani ujian keselamatan terhadap topi keledar tiruan jenama SHOEI yang kami terima. Ternyata ciri-ciri keselamatan barang tiruan itu tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan hingga menyebabkan kerosakan sekali gus memberi kesan yang buruk kepada pemakai.

"Contohnya, visor mudah retak ketika berlaku kemalangan atau terkena batu kecil semasa perjalanan. Terbukti, topi keledar tiruan tidak kukuh dan tidak selamat digunakan," katanya.

Melalui kenyataan itu, SHOEI menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan barang tiruan kerana ia akan bahayakan keselamatan penunggang motosikal.

Jurucakap Sinar Puncak berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menangani masalah berkenaan.

"Pihak syarikat bekerjasama dengan KPDNKK bagi menangani topi keledar tiruan jenama SHOEI itu," katanya.

Sementara itu pemilik syarikat aksesori motosikal, Datuk Hafiz Mohammad atau Hafiz Mecinda berkata, kebanyakan topi keledar tiruan ini diseludup dari China dan tidak mengikut standard yang ditetapkan.

"Bahaya jika pengguna menggunakan topi keledar tiruan kerana kualitinya ternyata kurang. Misalnya spesifikasi seperti 'foam' atau kabus yang biasa tidak dapat melindungi bahagian kepala.

"Selain itu, topi keledar tulen ada jaring atau besi yang menyokong bahagian kepala pengguna bagi mengurangkan impak yang berlaku ketika kemalangan," katanya.

Menurutnya, tali topi keledar tiruan juga tidak mempunyai kualiti yang baik selain tidak tahan lama.

"Tali topi keledar tiruan tidak kuat. Topi keledar digunakan untuk melindungi bahagian kepala daripada cedera ketika berlaku kemalangan. Orang ramai belilah yang tulen, bukan tiruan demi keselamatan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 8:55 PM