KULAT pada panau kelihatan dalam bentuk ‘hyphae’ dan ‘spora’ iaitu seakan-akan spageti serta bebola daging.
KULAT pada panau kelihatan dalam bentuk ‘hyphae’ dan ‘spora’ iaitu seakan-akan spageti serta bebola daging.
PESAKIT yang mengalami panau kerap berasa gatal dan tidak selesa.
PESAKIT yang mengalami panau kerap berasa gatal dan tidak selesa.
TOMPOKAN kecil panau boleh merebak menjadi besar apabila dua atau lebih tompok putih bercantum di kulit.
TOMPOKAN kecil panau boleh merebak menjadi besar apabila dua atau lebih tompok putih bercantum di kulit.
myMetro

Perubahan warna kulit terutama di bahagian terlindung mungkin tidak begitu membimbangkan. Rasionalnya, ia perkara biasa terutama pada bahagian yang tidak terdedah pada cahaya matahari.

Namun sekecil mana pun kesan perubahan warna itu berlaku pada kulit, ia perlu diberi perhatian kerana kemungkinan besar keadaan itu akan menyebabkan berlakunya panau.

Ramai yang tahu mengenai panau tetapi hanya segelintir yang faham punca serta cara mengatasinya.

Panau berlaku berikutan jangkitan pada lapisan luaran kulit berpunca daripada kulat jenis Malassezia. Kulat ini biasanya ditemui pada bahagian kulit di mana terdapat banyak penghasilan sebum (minyak) seperti di bahagian dada, belakang badan, wajah dan kulit kepala.

Kulat jenis Malassezia furfur ini ialah sebahagian daripada flora kulit yang normal dan hanya menyebabkan jangkitan dalam keadaan yang tertentu.

Secara ringkasnya, panau ialah tompok putih yang tumbuh di sekitar bahagian tubuh yang aktif berpeluh seperti kulit kepala, pipi, belakang leher dan belakang badan.

Ia ketara jika si penghidap berkulit gelap. Panau bukan hanya mengganggu penampilan diri, malah ia menimbulkan rasa gatal berpanjangan ketika berpeluh.

Mereka yang mengalami masalah panau ini mempunyai tompokan pucat (putih juga merah jambu) atau gelap (perang atau hitam) dengan permukaannya yang berdebu halus.

Tompokan ini berbentuk bulat atau bujur dan kadangkala bercantum hingga menyebabkan permukaannya kelihatan lebih luas.

Panau sebenarnya boleh dialami oleh setiap peringkat umur dan latar belakang. Bagaimanapun, ia lebih kerap berlaku dalam kalangan remaja dan mereka yang berusia awal 20-an.

Pesakit yang kekurangan zat makanan atau mengambil ubat seperti steroid sistemik dan imunosupresan lebih berisiko tinggi serta kerap mendapat panau. Begitu juga dengan pesakit hyperhidrosis atau peluh yang berlebihan.

Lazimnya, pemeriksaan untuk mengenal pasti panau dibuat berdasarkan rupanya pada bahagian badan lalu disahkan dengan penggunaan mikroskop.

Proses ini membabitkan pengambilan sampel dengan cara kikisan atau penggunaan pita selofan.

Menariknya, dengan menggunakan mikroskop, kulat pada panau ini akan kelihatan dalam bentuk ‘hyphae’ dan ‘spora’ iaitu seakan-akan spageti serta bebola daging.

Penggunaan alatan khas seperti Wood’s lamp dengan sinaran ultra ungu pada gelombang 365nm boleh menunjukkan warna kekuningan pada bahagian badan yang mempunyai panau bagi sesetengah kes.

Dua cara rawat panau

Ramai beranggapan panau ini mudah merebak atau berjangkit terutama apabila dua individu duduk berhampiran.

Sebenarnya panau tidak berjangkit. Kebanyakan golongan dewasa mempunyai kulat ini pada badan mereka tanpa mendatangkan sebarang masalah.

Panau juga tidak berlaku secara kerap selepas bersukan tetapi ia cenderung berlaku di kawasan tropika dengan kes insiden sehingga 40 peratus.

Bagi merawat panau, ada dua kaedah yang boleh digunakan iaitu menerusi sapuan ubat atau pengambilan pil juga dikenali sebagai sistemik.

Sapuan ubat pada keadaan yang mengalami panau disifatkan lebih selamat dan dibahagikan kepada dua - jenis ubat yang tidak spesifik terhadap kulat dan antikulat.

Rawatan sistemik antikulat pula hanya diberikan kepada pesakit yang mempunyai panau teruk, panau berulang atau panau yang gagal dirawat dengan ubat sapu.

Rawatan sistemik hanya boleh diberi oleh doktor atau pakar kulit disebabkan risiko kesan sampingan ubat dan tindak balas dengan ubatan lain.

Secara keseluruhannya panau boleh sembuh dengan dua rawatan itu. Ada pesakit yang mempunyai tompokan pucat mengambil masa lama sebelum warna kulit kembali sedia kala.

Keadaan itu tidak bermakna rawatan yang diambil gagal. Kulat menghasilkan bahan kimia bertoksik dan menghalang fungsi sel pigmen ketika jangkitan aktif, justeru ia mengambil masa untuk pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 5:01 AM