DR Sharif bersama dua pelajar menjalankan kajian terhadap ketum berikutan maklumat saintifik terhad.
DR Sharif bersama dua pelajar menjalankan kajian terhadap ketum berikutan maklumat saintifik terhad.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Universiti Sains Malaysia (USM) masih menjalankan kajian mengenai potensi tumbuhan Mitragyna speciosa atau ketum sebagai ubat baru penahan sakit dan rawatan penagihan dadah.

Penyelidikan yang diketuai Prof Dr Sharif Mahsufi Mansor itu turut menjalankan usaha bagi membangunkan ubat baru terhadap jangkitan kulat sistemik yang kemungkinan berlaku kepada penagih dadah yang dijangkiti HIV.

Dr Sharif Mahsufi berkata, kajian yang dijalankan terhadap ketum sejak 1960-an sehingga kini sudah mengenal pasti 57 sebatian daripada pelbagai spesis Mitragyna, malah daripada jumlah itu terdapat 37 jenis alkaloid unik bagi ketum dan alkaloid utama bagi daun ketum ialah mitraginina.

Hasil kajian mendapati mitraginina pada ketum tidak sama dengan morfin, namun kajian terperinci perlu dilakukan bagi melengkapi maklumat berkaitan dengan ketagihan dan keselamatan jangka panjang.

“Didapati ketum bukanlah opiat (narkotik), justeru, kajian klinikal diperlukan bagi mengesahkan kegunaan ketum sebagai ubat penahan sakit baru selain sebagai ubat bagi rawatan ketagihan dadah.

“Namun kajian yang kami jalankan sejak 2007 itu menemui ubat antikulat baru (CDR2) yang difailkan oleh USM pada 2016 bagi rawatan jangkitan kulat sistemik seperti aspergilosis dan permohonan itu menanti kelulusan daripada Perbadanan Harta Intelek (MyIPO),” katanya ketika ditemui pada Majlis Syarahan Umum Ketum (Mitragyna speciosa): Sejarah Penggunaan dan Penemuan Terkini di USM, semalam.

Menurutnya, sejak akhir-akhir ini, permintaan ketum meningkat di Eropah dan Amerika Syarikat bagi mengatasi kesakitan secara kendiri, gejala penarikan opiat serta sebagai dadah rekreasi.

Keadaan ini membimbangkan berikutan maklumat saintifik mengenai ketum adalah terhad dan mendorong pihak berkuasa memantau potensi kebaikan dan kesan ketoksikannya.

Terdapat beberapa kes kematian membabitkan penggunaan ketum, namun insiden itu menunjukkan mereka mengambil ketum dengan bahan lain seperti dadah, benzodiazepina, alkohol dan ubatan lain.

“Terdapat sekumpulan pengguna ketum yang sengaja menyalahgunakan tumbuhan itu seperti yang dipaparkan menerusi media dan kegiatan mereka memberi persepsi negatif kepada penggunaan ketum.

“Mungkin pada masa depan, USM dapat bekerjasama dengan agensi penyelidikan yang lain seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi mencari baka ketum terbaik di Malaysia berkaitan hasil kajian ini,” katanya.

Di Malaysia, ketum yang turut dikenali sebagai daun biak atau biak-biak sudah digunakan secara tradisional bagi merawat batuk, ubat cacing, cirit-birit, jangkitan kulit, mengawal kesakitan dan sindrom penarikan candu.

Pada 2003, ketum diletakkan di bawah Akta Racun 1952 di Malaysia, manakala di Thailand, Myanmar dan Australia, ia dikawal di bawah Akta Narkotik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2017 @ 3:46 AM