MASALAH kemiskinan menyebabkan peluang pendidikan dalam kalangan kanak-kanak terbatas. - Gambar Google
MASALAH kemiskinan menyebabkan peluang pendidikan dalam kalangan kanak-kanak terbatas. - Gambar Google

Pemakanan berzat antara faktor penyumbang kepada kejayaan kanak-kanak melalui fasa pendidikan. Bagaimanapun, mengikut kajian sebuah institusi bebas di Kanada, satu daripada empat pelajar di seluruh dunia berumur lima tahun ke atas menderita kekurangan pelbagai nutrisi.

Masalah itu bukan saja membantutkan perkembangan fizikal, malah menyebabkan pengembangan pembangunan pemikiran turut terjejas.

Isu ini lebih ketara terhadap kanak-kanak di Afrika terutama kawasan Sub-Sahara, antaranya Angola, Benin, Botswana, Burkina Faso, Burundi, Cameroon, Cape Verde, Afrika Tengah, Chad, Comoros, Congo, Djibouti, Equatorial Guinea, Eritrea, Ethiopia, Gabon, Gambia, Ghana, Guinea, Kenya, Lesotho, Malawi, Mali, Mozambique, Nigeria, Rwanda, Senegal, Sierra Leone, Somalia, Sudan, Swaziland, Tanzania, Togo, Uganda, Sahara Barat, Zambia dan Zimbabwe.

Di negara terbabit, lebih separuh daripada kanak-kanak berusia bawah lima tahun tidak menunjukkan tahap keupayaan sebenar di sekolah.

“Ia konflik kemanusiaan yang menyedihkan kerana kanak-kanak pada usia ini tidak menunjukkan perkembangan yang baik di sekolah.

“Semuanya kerana mereka kekurangan sumber makanan berzat, selain kemudahan pendidikan yang sangat menyedihkan,” kata ahli akademik yang menjalankan kajian bebas di Afrika, Cynthia Breazeal.

Di seluruh dunia, kira-kira 57 juta kanak-kanak tidak berpeluang hadir ke sekolah rendah, sebahagian besarnya di Afrika. Sebanyak 20 peratus daripada mereka tinggal di selatan dan barat Asia. Daripada jumlah itu, 54 peratus adalah murid perempuan.

Menurut kajian berkenaan, masalah itu akan mencetuskan rangkaian masalah sosial lain pula seperti jenayah, pengangguran dan buta huruf.

Selain kemiskinan, ia juga saling berkait dengan faktor kepercayaan, agama, kecacatan fizikal dan etnik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 5:00 AM