Kerajaan India keluar garis panduan untuk elak masalah tulang belakang dan bongkok. FOTO REUTERS
Kerajaan India keluar garis panduan untuk elak masalah tulang belakang dan bongkok. FOTO REUTERS
Reuters

NEW DELHI: Kerajaan India mengeluarkan garis panduan berat bagi beg sekolah berdasarkan usia murid kerana bimbang menyebabkan golongan itu mengalami masalah tulang belakang termasuk bongkok pada masa depan.

Garis panduan itu dikeluarkan susulan kajian yang menunjukkan bagaimana bebanan seperti itu mampu menjejaskan tulang belakang yang masih lembut dan membesar.

Satu kajian dilakukan Dewan Perniagaan dan Industri Bersekutu India mendapati 68 peratus kanak-kanak praremaja mungkin mengalami sakit belakang ringan, yang boleh menjadi sakit kronik seterusnya menyebabkan bongkok pada masa depan.

Kajian membabitkan lebih 2,500 kanak-kanak dan 1,000 ibu bapa di bandar utama, mendapati lebih 88 peratus kanak-kanak berusia tujuh hingga 13 tahun membawa lebih daripada 45 peratus berat badan mereka di atas belakang.

Ibu beranak dua, Rashmi Tapke berkata, beg sekolah berat menunjukkan perancangan jadual pembelajaran yang lemah dan dia menyokong inisiatif berkenaan.

“Jika sekolah membuat perancangan lebih baik, mereka boleh mengurangkan bebanan murid. Anak saya mengalami kesukaran membawa begitu banyak buku,” katanya yang anaknya menghadiri sekolah swasta di Mumbai.

Maharashtra, tempat Mumbai terletak, menggariskan berat beg tidak patut melebihi 10 peratus berat badan kanak-kanak.

Kebanyakan sekolah di situ sudah mula menggunakan papan putih dan projektor untuk memastikan budak tidak perlu membawa buku ke sekolah.

Bagaimanapun, di kebanyakan tempat di pedalaman India, kanak-kanak perlu berjalan jauh ke sekolah dengan membawa bebanan beg sekolah. Segelintir kanak-kanak terpaksa meranduk air sungai malah ada yang menjunjung buku atas kepala semata-mata mahu sampai ke sekolah.

Pemandu, Rajinder Shukla berkata, anaknya menghadiri sebuah sekolah di Uttar Pradesh.

“Anak perempuan saya amat kecil dan terpaksa membawa buku seberat empat hingga lima kilogram, selain bekalan makanan dan air dalam beg berasingan setiap hari,” katanya.

Pekeliling persekutuan itu turut mencadangkan kanak-kanak darjah satu dan dua tidak perlu diberikan kerja sekolah supaya mereka tidak perlu membawa buku pulang ke rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 November 2018 @ 9:04 PM