PELUANG melihat matahari terbit di puncak Gunung Ayam.
PELUANG melihat matahari terbit di puncak Gunung Ayam.
D J Dolasoh

Dua gunung berkembar di Dabong, Gua Musang, Kelantan iaitu Gunung Baha dengan ketinggian 1,450 meter dari aras laut dan Gunung Ayam, 1,500 meter mempunyai sejarah tersendiri selain lokasinya bersebelahan Gunung Stong setinggi 1,433 meter.

Gunung Baha dan Gunung Ayam dikatakan mempunyai legenda tersendiri apabila menjadi lokasi raja berketurunan dari Champa, Kemboja, suatu ketika dahulu menjelajah dari negaranya sini sebelum ‘berkampung’ di situ kerana strategik apabila boleh mengintip musuh dari jauh.

Beberapa gua di situ pula menjadi tempat askar mengawal dan berkubu bagi mempertahankan rajanya sehingga beberapa lama.

Kini, dua gunung ini sering didaki pencinta aktiviti lasak itu.

Untuk menakluki kedua-dua gunung ini, ia mengambil masa hingga 10 jam kerana pendaki perlu mendaki Gunung Baha dahulu sebelum ke Gunung Ayam di sebelahnya.

Pendakiannya penuh dengan cabaran yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental kerana sebahagian laluannya melalui lereng curam, licin dan sempit.

Sebelum meneruskan pendakian ke puncak, pengunjung akan menemui Kem Baha sebagai pintu masuk ke tapak persinggahan untuk melepaskan penat di samping menikmati kehijauan dan keindahan panorama kawasan gunung-ganang dengan udara sejuk, nyaman dan menyegarkan itu.

Kem Baha di pertengahan Gunung Baha adalah tapak perkhemahan yang diwujudkan di puncak Air Terjun Jelawang, tempat pertembungan dua sungai dari Gunung Stong dan Gunung Ayam yang digelar ‘The Last Waterfall’ oleh penduduk tempatan.

Pasti membuatkan pengunjung teruja ialah deruan Air Terjun Jelawang setinggi 305 meter yang menjadi suara latar kepada siulan pelbagai spesies unggas yang terbang bebas di hutan simpan itu. Air terjun ini adalah yang tertinggi di Asia.

Bagi yang ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi serta merasai kedinginannya, Air Terjun Jelawang mampu memenuhinya.

Untuk menikmati keindahan alam semula jadi di puncak air terjun itu, sebaiknya pengunjung bermalam di Kem Baha sama ada tidur di dalam khemah atau rumah rehat yang disediakan.

Pengunjung juga berpeluang melihat pemandangan indah Kampung Jelawang di kawasan bawah dan kehijauan Hutan Simpan Kekal yang mempunyai khazanah alam dengan flora dan founa belum terusik.

Selain bersantai dan mandi-manda di situ, pengunjung berpeluang melihat pelbagai spesies tumbuhan termasuk bunga rafflesia, pokok palma dan orkid hutan yang menjadi tarikan di Taman Negeri Stong.

Berkhemah pada waktu malam secara berkumpulan lebih menyeronokkan semasa di atas puncak Gunung Baha kerana udaranya

yang sejuk serta segar berbaur dengan bunyi sang unggas rimba menjadi muzik yang melunakkan halwa telinga.

Keistimewaan Gunung Ayam paling pula ialah pengunjung yang tiba di puncaknya berpeluang menyaksikan keindahan panorama ketika geliat matahari terbit yang membelah langit, manakala ketika terbenamnya pula dipenuhi dengan gumpalan awan pelbagai bentuk.

Peluang merasai kedamaian dan suasana menarik ketika petang dan malam termasuk melihat matahari terbenam pada waktu senja serta lembayung cukup memukau untuk dihayati dan menakjubkan seperti sedang berada di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 5:06 AM