PENDAKI bergambar kenangan dengan berlatarbelakangkan air terjun Gunung Stong.
PENDAKI bergambar kenangan dengan berlatarbelakangkan air terjun Gunung Stong.
Teks dan foto Mohd Zahile Ismail


DARIPADA pengalaman penulis, tidak ramai pendaki yang berani dan sanggup menguji keupayaan diri menawan sembilan puncak gunung (Gunung Kob, Baha, Stong, Che Tahir, Saji, Tera, Nyelit, Stong dan Ayam) menerusi trip pendakian Trans Jelawang di Dabong, Kelantan tahun lalu.

Selain laluan pendakian 'pacak' dan meredah denai yang dipenuhi semak samun, pendaki juga perlu memikul bebanan sendiri sepanjang beberapa hari pendakian.

Namun, ajakan rakan dari kumpulan Samurai Gunung untuk mengikuti Trans Jelawang pada 25 hingga 30 Januari tahun lalu membuatkan penulis bersetuju.

Ini kerana senarai 'line-up' (rakan pendaki lain) untuk trip itu sudah dikenali dan ia meyakinkan penulis

Kumpulan pendaki kali ini terdiri daripada Along, Haris, Meor, Tom, Shuk, Bidin, Atan, PakLee, Pali, Wan Ciloi, Dilla Cipoi, Kak Mas, Siti Nora, Lela, Kak Sainul, Awi, Bidin, Amin, Jemil, Rhino, Pecal, pendaki dari Belanda, Anna dan penulis.

Perjalanan kami bermula dengan menaiki kereta api dari Kuala Lumpur ke Dabong.

Setibanya di stesen kereta api Dabong, kami disambut jurupandu arah iaitu Kie dan Yu, anak jati Kelantan yang berpengalaman luas menjadi 'guide' di gunung sekitar Dabong.

Usai sarapan dan membeli barangan keperluan, kami dibawa ke tapak permulaan pendakian iaitu di sebelah Dabong Resort.

Pendakian hari pertama kami menuju ke Gua Lie dan akan bermalam di situ. Kami juga akan singgah di puncak Gunung Kob yang berketinggian 1240 meter (m) dari aras laut.

Selepas doa perjalanan dibacakan, kami memulakan pendakian melalui bukit di dalam kebun getah sebelum bertemu kaki air terjun Stong.

Sempatlah kami melepaskan lelah, menambah sedikit tenaga dengan kudapan yang dibekal selain mengabadikan kenangan berlatarbelakangkan air terjun Stong yang sangat indah.

Cabaran bermula dengan trek pendakian yang semakin mencabar dan jur

upandu arah kami mengambil keputusan bermalam di Gua Bogo memandangkan seorang rakan mengalami ketegangan otot kaki kiri dan kanan.

Selepas selesai menikmati makan malam, masing-masing membuat hal sendiri dan penulis mengambil kesempatan untuk melelapkan mata memandangkan pendakian esok lebih mencabar.

Seawal jam 6 pagi, Along yang bertindak sebagai ketua trip, mengejutkan kami supaya bangun dan bersiap

untuk memulakan perjalanan seawal yang mungkin.

Pendakian hari kedua kami ditemani bunyi unggas hutan selain turut berselisih dengan kumpulan yang mendaki Gunung Bahar, Stong dan Ayam secara 'day-pack.'

BERMALAM di dalam gua.
BERMALAM di dalam gua.

Penulis sampai ke puncak Gunung Kob pada pukul 9.15 pagi dan kemudian kami menelusuri turun ke Gua Lie.

Kie memaklumkan trip Trans Jelawang bukanlah satu trip digemari ramai kerana pendakiannya agak sukar dan mengambil masa yang lama.

Tidak hairanlah jika sepanjang pendakian, banyak denai yang sudah ditutupi pokok patah dan semak samun.

Dari Gua Lie kami menelusuri celah pokok tumbang dan semak samun selain tiba di simpang Gunung Baha sekitar jam 5.30 petang.

Kami menyambung pendakian selama 15 minit ke puncak Gunung Baha yang terletak pada ketinggian 1,450m dari aras laut dan mengambil keputusan bermalam di Kem Spring (kaki Gunung Ayam) kerana suasana sudah lewat petang selain keadaan rakan yang masih dibelenggu kesakitan kakinya.

Pendakian hari ketiga dimulakan agak awal iaitu jam 7.40 pagi dan penulis serta rakan berjaya menakluk puncak Gunung Ayam (setinggi 1,500 m dari aras laut) sekitar jam 8 pagi.

Kie meminta kami semua supaya bergerak di dalam kumpulan dan tidak terpisah jauh di antara satu sama lain memandangkan cuaca mulai berkabus.

Di satu simpang, kami meletakkan beban yang digalas dan bersedia dengan 'day-pack' sahaja untuk menakluk puncak Gunung Che Tahir (1,430m dari aras laut) .

Kami kemudian bergerak ke perhentian seterusnya iaitu Kem Simpang Tiga dan mengambil keputusan bermalam di situ kerana terdapat sumber air.

Penulis mengambil kesempatan mendaki ke puncak Gunung Saji dan puncak Gunung Tera bersama beberapa rakan.

BEREHAT melepas lelah seketika.
BEREHAT melepas lelah seketika.

Sebaik saja kami bergerak turun, gerimis mulai menitis dan kemudian hujan semakin lebat.

Keadaan fizikal yang penat, lapar dan sejuk memang mencabar, namun ia tidak mematahkan semangat.

Kami berjaya tiba di Kem Siam sekitar jam 9.20 malam dan kepulangan kami disambut dengan hidangan air teh 'O' panas dan sup ayam enak disediakan rakan pendaki lebih awal turun.

Pada hari keempat, kami memulakan pendakian pada jam 8 pagi dan ia lebih mencabar kerana perlu melalui denai haiwan seperti gajah.

Laluannya juga berliku dan Kie acap kali menasihatkan kami supaya tidak tersasar dari denai yang sepatutnya.

Kami turut menelusuri sungai sehinggalah tiba di Kem Cobra yang terletak di persimpangan dua sungai dan di kaki Gunung Nyelit.

Dari Kem Cobra, perjalanan kami turut melalui trek menaik yang begitu mencabar sebelum tiba di puncak Gunung Nyelit pada jam 4 petang.

Kami kemudian bergerak ke Longkang Hijau dan bermalam di situ.

Pendakian hari kelima kami meliputi dua puncak gunung iaitu Gunung Stong (1,422 m dari aras laut) dan Gunung Beirut (1,380 m dari aras laut).

Dari Kem Longkang Hijau, kami hanya mengambil masa 15 minit ke puncak Gunung Stong dan untuk ke puncak Gunung Beirut pula, perjalanan sedikit santai kerana perlu melalui permatang gunung.

Dengan beg yang basah dan berat, kami berjaya mendaki ke puncak Gunung Beirut iaitu puncak yang kesembilan pada jam 12.20 tengah hari.

Kami kemudian bergerak turun ke Kem Baha dan perjalanan turun juga tidak kurang mencabar, penulis mahupun rakan beberapa kali tersungkur kerana laluannya yang licin serta curam.

Akhirnya, kami tiba di Kem Baha pada jam 6 petang dan terus memasang khemah untuk berehat.

Keesokkan harinya, sesudah bersarapan, kami beramai-ramai ke kolam untuk mandi dan kemudian bersiap turun ke Dabong kerana perlu mengejar kereta api jam 9 malam.

Di Pusat Rawat & Rehat (R& R) Jelawang kami membersihkan diri dan solat di Masjid Jelawang sebelum ke stesen kereta api.

Biarpun trip kali ini mencabar fizikal dan mental penulis, dengan kerjasama rakan pendaki, ia dapat dijayakan dengan baik.

Terima kasih abang 'guide,' geng kantin dan Samurai Gunung yang menjayakan impian penulis untuk menakluk sembilan puncak gunung di Dabong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 7:00 AM