KEGEMBIRAAN terukir ketika program berlangsung.
KEGEMBIRAAN terukir ketika program berlangsung.
Siti Nadirah Hafidzin

Melawat dan menggembirakan pesakit terutama pesakit kanak-kanak pastinya meninggalkan kesan positif kepada si kecil dalam melawan penyakit dihidapi.

Sehubungan itu, kumpulan amal We Love Charity (WLC) meluangkan masa dalam sesi perkongsian khas di Hospital Pakar KPJ Puteri Johor Bahru, baru-baru ini.

Tujuan penganjuran program itu adalah untuk membawa kegembiraan dan perkongsian dalam usaha menyeronokkan semua pesakit.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pengarah Eksekutif Hospital Pakar KPJ Puteri Johor Bahru, Khairun Ahmad berkata, program itu sebagai menunjukkan sokongan kepada pesakit kecil di hospital terbabit.

“Kami sentiasa mengutamakan kegembiraan dan keselesaan pesakit terutama kanak-kanak yang dimasukkan ke dalam wad untuk dirawat.

“Setiap bulan kami menganjurkan Hari Kanak-kanak yang dijadikan aktiviti bulanan untuk menggembirakan kanak-kanak dan kali ini, saya amat gembira kerana kami berkongsi sehari yang indah bersama kru WLC,” katanya.

WLC adalah sebuah kumpulan amal yang pergi ke hospital untuk berkongsi kegembiraan dan keseronokan di mana mereka turut membawa beberapa anak kecil bagi memeriahkan aktiviti berkenaan.

Dalam program itu, mereka memulakan hari istimewa dengan persembahan busker yang menyanyikan beberapa lagu kanak-kanak yang ternyata menarik minat pesakit kecil untuk menyanyi dan menari bersama-sama.

Selepas itu, badut Momo melakukan beberapa persembahan silap mata dan kanak-kanak yang mengambil bahagian kelihatan ketawa dengan gembira.

Momo kemudiannya mengendalikan beberapa permainan seperti membalut mumia yang mengkehendaki ibu bapa membuat anak mereka menggunakan kertas.

Pengerusi WLC, Marziana Abd Rashid berkata, seramai 25 kru didatangkan khas dari Kuala Lumpur untuk meraikan pesakit kecil.

“Kami suka melakukan perkara yang dapat menggembirakan kanak-kanak dan melihat senyuman mereka. Diharap aktiviti seperti ini dapat memberi sinar harapan kepada pesakit terutama kanak-kanak,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 6:25 AM