PESERTA teruja mengikuti persembahan khas.
PESERTA teruja mengikuti persembahan khas.
Siti Nadirah Hafidzin


BERAT mata memandang, berat lagi bahu memikul. Apabila disahkan menghidap penyakit pada usia kanak-kanak tentunya memberi tamparan hebat bukan saja kepada pesakit malah seluruh ahli keluarga.

Sokongan keluarga dan masyarakat sekeliling kepada pesakit kanak-kanak bukan saja mampu meringankan beban serta kesakitan ditanggung, malah memberi impak positif untuk lebih cepat sembuh selain bersemangat meneruskan kehidupan.

Tanpa sokongan dan bantuan dari setiap sudut, agak sukar bagi pesakit yang masih kecil memahami serta menerima takdir yang ditetapkan untuknya.

Benar, kegembiraan mampu menjadi ubat paling mujarab, mungkin perlu mengambil masa untuk sembuh sepenuhnya, namun rasa gembira dan teruja sekurang-kurangnya dapat menjadikan pesakit itu lebih kuat.

Bagi berkongsi kegembiraan dan memberi semangat kepada pesakit kanak-kanak di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur, Causeway Exchange dengan kerjasama hospital terbabit membawakan persembahan khas penceritaan menarik.

Wakil Causeway Exchange berkata, persembahan dibawakan berbentuk hiburan, nyanyian dan program kreatif menghasilkan kraf yang memerlukan peserta yang terdiri daripada pesakit juga pelawat kanak-kanak untuk mengambil bahagian.

“Kami menjalankan enam sesi persembahan bermula dari jam 11 pagi dan berakhir jam 5 petang apabila setiap peserta dibahagikan kepada enam sesi serta dihiburkan dengan kaedah penceritaan menarik dilakonkan pasukan kami.

“Peserta juga turut diajak menyanyi, menari dan melakukan sesi kraf bersama-sama pada penghujung persembahan. Ia bukan saja menghiburkan malah turut meningkatkan kebolehan deria setiap peserta,” katanya.

Katanya, paling menarik, setiap peserta dilihat sangat teruja selepas mengikuti sesi persembahan dan ia sedikit sebanyak membuatkan golongan itu tidak terlalu fokus kepada kesakitan dirasai.

“Ada yang tinggal di wad disebabkan demam, ada juga yang datang ke hospital untuk menghadiri temu janji bulanan dan datang untuk melawat keluarga yang sakit di wad. Tidak kira apa saja tujuan mereka di sini (hospital), kami akan cuba hiburkan mereka dalam tempoh setengah jam untuk satu sesi.

“Seronok melihat kanak-kanak ini tersenyum riang sepanjang sesi persembahan, tidak kurang ada yang melompat-lompat disebabkan rasa teruja yang dirasai. Ini yang kami harapkan supaya dapat membawakan kegembiraan kepada setiap peserta acara ini,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa juga penjaga yang mempunyai anak kurang sihat atau sudah disahkan menghidapi apa juga penyakit turut disaran menghiburkan anak mengikut cara tersendiri sekerap mungkin.

“Anda sebagai ibu bapa adalah individu yang paling rapat mempunyai peranan yang sangat penting dalam membawakan kegembiraan kepada anak khususnya anak tidak sihat. Di rumah anda boleh lakukan pelbagai cara untuk berhibur kerana tidak semestinya hiburan itu hanya boleh didapati di luar rumah.

“Ibu bapa perlu lebih kreatif terutama sekiranya anda mempunyai anak tidak sihat. Paling penting berusahalah untuk membuatkan anak anda tidak terlalu memikirkan kesakitan ditanggung,” katanya.

Dalam pada itu, Aminah Muhammad yang datang bersama anaknya berkata, dia datang ke hospital untuk mengikuti temu janji bulanan bersama doktor.

“Sekali dalam sebulan saya perlu bawa dia ke hospital untuk menjalankan pemeriksaan masalah darah dialami anak. Kebiasaannya, kami hanya datang dan balik namun hari ini sedikit berbeza kerana ada persembahan istimewa ini.

“Dia (anak) sangat teruja apatah lagi dia memang suka menyanyi dan menari. Persembahan ini sedikit sebanyak membuatkan dia lupa dengan kesakitan yang dirasainya setiap kali perlu mengambil darah apabila temu janji,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Disember 2019 @ 5:10 AM