Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia, Hospital Pakar KPJ Puteri Johor Bahru turut mengambil kesempatan menganjurkan program Hari Kanak-Kanak bagi mengembirakan golongan itu yang juga pesakit yang dimasukkan ke wad pediatrik dan di klinik di hospital terbabit, baru-baru ini.

Pengarah Eksekutifnya Khairun Ahmad berkata, program berkenaan diadakan bagi memberi sokongan dan berkongsi kegembiraan sempena sambutan hari istimewa buat kanak-kanak itu.

Menurutnya, program itu juga sebagai satu cara bagi membantu dalam mengurangkan kesakitan kepada kanak-kanak yang dimasukkan ke wad hospital terbabit atas faktor masalah kesihatan.

"Saya yang juga seorang bapa kepada empat cahaya mata amat memahami kesukaran kepada anak-anak ketika mereka sedang sakit selain pengorbanan ibu bapa yang perlu menjaga anak-anak mereka.

"Dengan inisiatif kecil ini, kami ingin berkongsi kebahagiaan dalam menyambut sambutan ini bersama-sama pesakit yang juga bakal menjadi pemimpin masa depan," katanya.

Menurut Khairun, antara aktiviti yang dianjurkan sepanjang program itu adalah acara memotong kek, persembahan, pemberian beg cenderahati, pertandingan mewarna dan dekorasi kek cawan.

"Selain itu, kakitangan kami turut mengedarkan belon kepada setiap kanak-kanak dan jelas ia amat menggembirakan hati mereka sebelum turut mengedarkan beg cenderahati kepada semua pesakit kanak-kanak di sini.

"Kami amat berbesar hati kerana program ini dapat memberi sinar kegembiraan kepada pesakit dalam kalangan kanak-kanak yang menghidap pelbagai jenis penyakit," ujarnya.

Khairun berkata, pihaknya berharap objektif penganjuran program itu tercapai dan semua pesakit dalam kalangan kanak-kanak yang dihiburkan berasa gembira dan sedikit sebanyak mengurangkan kesakitan yang ditanggung.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Disember 2014 @ 5:00 AM