Nazarali Saeril dan Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: “Saya masih menunggu (debat),” kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) berhubung cadangan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sebelum ini mencabar beberapa individu penting dalam bola sepak negara untuk berdebat secara langsung di televisyen berkaitan isu kemerosotan sukan itu.

Menurut Khairy, beliau masih menunggu perdebatan itu dan sehingga kini, tiada pihak yang memaklumkan mengenai tarikh sesuai untuk melakukannya.

“Saya tiada halangan untuk berdebat cuma masih menanti tarikhnya,” katanya ketika ditemui di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras di sini, semalam.

Tunku Ismail sebelum ini menyenaraikan beberapa individu lain termasuk wakil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee untuk berdebat mengenai isu bola sepak negara.

Dalam entri baginda di laman sosial Facebook (FB) JOHOR Southern Tigers baru-baru ini, Tunku Ismail bertitah bola sepak adalah milik rakyat dan mereka berhak mengetahui mengenai situasi dihadapi sukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 8:35 AM