Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak perlu bersusah-payah menyiasat dan mencari punca sebenar yang menjurus kepada tindakan peletakan jawatan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai penasihat badan induk itu.

Bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, banyak lagi tugas dan tanggungjawab perlu diselesaikan FAM selain kes berkenaan tidak penting kerana keputusan yang dibuat itu hak peribadi Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berkenaan.

Jamal berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan Tunku Ismail yang mungkin tidak berpuas hati dengan keputusan FAM sebelum ini.

“Saya berpendapat hanya membuang masa jika FAM yang dibebani dengan pelbagai tugas memajukan sukan bola sepak negara melakukan siasatan terhadap punca TMJ melepaskan jawatan sebagai Penasihat FAM.

“Apa yang terlalu istimewa Tunku Ismail untuk FAM bersusah-payah melakukan siasatan. Kita sedia maklum sebabnya mungkin kerana tidak berpuas hati dengan jadual perlawanan membabitkan pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT),” katanya, semalam.

Semalam, akhbar ini menyiarkan laporan yang menyebut Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahukan FAM melakukan siasatan terhadap keputusan Tunku Ismail meletakkan jawatan sebagai Penasihat FAM minggu lalu.

Beliau berkata, Tunku Ismail seorang pemimpin bola sepak yang bijak dan berwibawa di peringkat negeri terutama apabila berjaya meletakkan pasukan Johor DT di kedudukan tinggi dan dihormati peringkat kebangsaan.

Justeru, katanya apabila beliau membuat keputusan melepaskan jawatan sebagai Penasihat FAM itu bermakna Tunku Ismail memiliki pendirian tegas dan sanggup berbuat apa saja semata-mata untuk memuaskan hatinya.

“Saya berpendapat FAM sebagai badan induk bola sepak di negara ini tidak seharusnya tunduk dengan sebarang desakan mana-mana pihaknya berkaitan kes peletakan jawatan Tunku Ismail.

“Cadangan supaya FAM menyiasat kes berkenaan adalah satu cetusan idea ikhlas Menteri Belia dan Sukan yang ingin melihat masalah dihadapi dapat diselesaikan dengan baik demi perkembangan bola sepak negara.

“Mereka yang berada dalam FAM bekerja secara sukarela semata-mata untuk melihat sukan bola sepak negara berjaya di arena tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:05 AM