Kuala Lumpur: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah (gambar) mengesahkan pihaknya masih belum mengetahui mengenai perancangan besar yang mahu dilaksanakan oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi meningkatkan kualiti bola sepak negara.

Namun beliau menyatakan FAM sentiasa terbuka untuk sebarang perbincangan dan bekerjasama dengan semua pihak demi kemajuan.

“Pada dasarnya kami belum menerima apa-apa laporan rasmi mengenai perancangan Khairy, cuma kami hanya membaca mengenai hasratnya itu menerusi berita di akhbar saja.

“Tapi bagaimanapun saya bagi pihak FAM menyambut baik apa saja perbincangan yang mahu diadakan bukan saja dengan Khairy tapi dengan mana-mana pihak yang mahu bersama memberi sumbangan kepada bola sepak negara,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Khairy dalam laporan akhbar ini sebelum ini menyatakan keinginan bertemu dengan FAM untuk berbincang mengenai rancangan terbaharu dalam usaha membangunkan bola sepak negara khususnya pasukan kebangsaan yang mengalami kemerosotan hingga menduduki tangga ke-174 dunia.

Idea itu terhasil selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Penasihat Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim Rabu lalu.

Pertemuan itu juga mencapai persetujuan untuk tidak meneruskan debat terbuka yang dicadangkan oleh Tunku Ismail sebelum itu yang mana ditolak oleh FAM.

Afandi berkata, pendekatan menerusi perbincangan ini dilihat lebih baik untuk mengadakan kerjasama berbanding dengan berdebat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mei 2016 @ 7:57 AM