Othman bersama Pegawai Penyelaras MTHQA, Abdul Karim Zakaria (kanan) menunjukkan Anugerah Penganjuran Program Al-Quran Terbaik yang diterima semasa Musabaqah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Negara Kuwait sejurus tiba di KLIA hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Othman bersama Pegawai Penyelaras MTHQA, Abdul Karim Zakaria (kanan) menunjukkan Anugerah Penganjuran Program Al-Quran Terbaik yang diterima semasa Musabaqah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Negara Kuwait sejurus tiba di KLIA hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Siti A'isyah Sukaimi

Sepang: Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerima pengiktirafan bagi kategori Penganjuran Program Al-Quran Terbaik 2016 oleh Kuwait International Prize Of Holy Quran.

Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Emir Kuwait Nawaf Al Ahmad Al-Jabir Al-Sabah kepada Ketua Pengarah JAKIM Datuk Othman Mustapha mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ketujuh Negara Kuwait di Istana Bayan, semalam.

Othman menyifatkan anugerah berkenaan satu pengiktirafan kepada kerajaan dan JAKIM sekali gus memperlihatkan usaha serta tungkus lumus penganjuran majlis tilawah itu mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

"Kita fikir apa yang dibuat ini tidak dilihat oleh orang lain namun, negara Arab turut mengiktirafkannya menerusi penganugerahan yang diterima pada majlis berkenaan.

"Sebelum ini, Pegawai Penyelaras MTHQA di JAKIM, Abdul Karim Zakaria membentangkan mengenai perjalanan tilawah antarabangsa anjuran Malaysia di Dubai serta Kuwait dan dari situ, mereka menilai untuk memberi pengiktirafan ini," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Beliau berkata, MTHQA masuk kali ke-58 penganjurannya serta dipilih menerima anugerah berkenaan berdasarkan pengalaman dan sumbangan dalam usaha memartabatkan al-Quran di peringkat antarabangsa sejak penganjuran pertama pada 1961.

Selain itu, beliau berkata, Musabaqah Tahfiz, Tilawah dan Qiraat Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ketujuh Negara Kuwait berlangsung dari 13 hingga 20 April turut disertai dua peserta dari Malaysia masing-masing bagi kategori tilawah serta hafazan.

"Peserta Malaysia bagi kategori tilawah iaitu Abdul Khair Jalil turut diumumkan johan serta membawa pulang sijil dan hadiah wang tunai RM64,298 (5,000 dinar).

"Kemenangannya menunjukkan peserta dari negara ini boleh menandingi peserta lain dari negara Arab malah sebelum diumumkan sebagai pemenang, Abdul Khair turut dijemput memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 10:11 PM