JOHAN Qari dan Qariah Tilawah Al-Quran, Abdul Khair Jalil dan Nor Farhatul Fairuzah Panut di Majlis perasmian penutupan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 Tahun 1440H/2019, di Pusat Konvesnyen Kuala Lumpur (KLCC). FOTO Zunnur Al Shafiq
JOHAN Qari dan Qariah Tilawah Al-Quran, Abdul Khair Jalil dan Nor Farhatul Fairuzah Panut di Majlis perasmian penutupan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 Tahun 1440H/2019, di Pusat Konvesnyen Kuala Lumpur (KLCC). FOTO Zunnur Al Shafiq
Nor Akmar Samudin

“SAYA mahu bawa ibu mengerjakan umrah sebagai membalas jasa dan pengorbanannya sehingga saya berjaya meraih kejayaan dalam pertandingan musabaqah ini.”
Demikian kata johan kategori tilawah (wanita) Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-61, Nor Farhatul Fairuzah Panut, 19.

Mengiringi kejayaan itu, Nur Farhatul membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000, wang tunai RM40,000 dan piala iringan.

Katanya, beberapa tahun lalu ibunya, Jaliah Simin, 63, sudah pernah melakukan umrah tetapi kali ini dia mahu membawa wanita istimewa di hatinya itu ke Tanah Suci mengguna wangnya sendiri.

Qariah muda itu adalah pelajar Tingkatan Enam dalam bidang syariah di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu.

“Ibu adalah insan yang tidak pernah jemu menyokong cita-cita dan minat saya selain arwah ayah, Panut Markom yang meninggal dunia pada tahun 2017.

“Wang yang selebihnya, saya mahu menyimpan untuk digunakan bagi melanjutkan pengajian pada masa depan,” katanya ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pemenang MTHQA61 disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di Kuala Lumpur, malam tadi.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, seperti peserta lain dia banyak melakukan latihan untuk menghadapi pertandingan berkenaan dan lazimnya setiap kali selepas solat lima waktu.

“Saya amalkan membaca al-Quran 15 minit selepas solat, waktu paling sesuai selepas solat Subuh untuk ‘memecahkan suara’.

“Saya juga tidak mengambil minuman berais bagi menjaga suara,” katanya.

Bagi qari dari Malaysia, Abdul Khair Jalil, 40, yang memenangi kategori tilawah (lelaki) MTHQA61, dia mahu membawa isterinya, Halimatun Samsori untuk mengerjakan ibadat haji menggunakan hadiah yang jumlahnya sama seperti dimenangi Nor Farhatul Fairuzah.

“Insha-Allah saya hendak membawa isteri menunaikan haji, itu harapan dan niat yang sudah saya pasang sebelum ini.

“Syukur saya mampu menjadi johan walaupun berdepan cabaran hebat daripada peserta lain, ada juga perasaan tertekan memandangkan Malaysia adalah tuan rumah,” kata pensyarah dalam bidang pengajian al-Quran di Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM).

Bagi kategori hafazan lelaki, peserta dari Sweden, Mohamed Abdi dinobatkan sebagai juara manakala untuk kategori wanita, ia dimenangi peserta dari Nigeria, Fatouma Ousseni Moussa.

Seramai 74 peserta dari 41 negara menyertai MTHQA61 termasuk tujuh negara yang kali pertama menghantar wakil iaitu Azerbajian, Montenegro, Sweden, Norway, Austria, Kenya dan Ivory Coast.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 9:27 AM