Amirul Haswendy Ashari.


Tahun ini dianggap bertuah buat kumpulan Kpop paling diminati, Bigbang. Selepas muncul semula dengan album baru tahun lalu, dua anggota Bigbang, G-Dragon dan Taeyang mencatat sejarah peribadi sendiri.

Video muzik lagu mereka, Good Boy berjaya melepasi 100 juta tontonan di laman YouTube pada 14 April lalu.

Susulan kejayaan itu, YG Entertainment mengeluarkan foto kejayaan itu di laman rasmi mereka sebagai tanda pencapaian.

Video muzik itu dilancarkan November 2014 dan sedari itu, ia secara konsisten memecah rekod dari semasa ke semasa. Ia berjaya mencecah 10 juta tontonan pada 2 Disember 2014 dan memecah rekod 50 juta pada April 2015 pula.

Kejayaan terbaru ini membuktikan tiga video muzik Bigbang melepasi 100 juta tontonan di YouTube selepas Fantastic Baby dan Bang Bang Bang.

Sekali gus menjadikan mereka kumpulan Kpop pertama mempunyai tiga video muzik dengan tontonan tertinggi.

Video muzik itu diarahkan pengarah video muzik terkenal dunia, Collin Tilley dan video muzik lagu Good Boy dikenali kerana keunikan kerja kamera dan kesan visual yang hebat.

Ia turut dikenali di luar negara termasuk media antarabangsa seperti Billboard, Fuse TV, Majalah Complex dan Hypertrak.

Dalam pada itu, Bigbang juga menunjukkan sikap menghargai syarikat lain yang turut mengurus rakan mereka.

Baru-baru ini, T.O.P memuat naik gambar di laman Instagram bersama surat tulisan tangan oleh Taeyang (Youngbae).

Dalam surat itu, Taeyang mengucapkan selamat dan berpesan supaya ‘abang sulung’, T.O.P menjaga kesihatan.

“Saya akan sentiasa berdoa kamu sentiasa selamat ketika penggambaran di Jerman dan pulang dengan selamat. Saya akan merindui kamu selama dua bulan ketiadaan kamu.

“Saya bimbangkan kamu selama beberapa hari ini sejak kamu kelihatan sunyi dan penat. Semoga ceria Hyung! (panggilan untuk Abang Long),” tulis Taeyang atau nama sebenarnya, Dong Young Bae.

Peminat yang membaca surat itu meluahkan rasa terharu dengan hubungan mesra ditunjukkan kedua-dua mereka.

Ada peminat turut memberi kata-kata semangat supaya jangan berhenti berjuang dan jangan bimbang.

Sebelum ini, T.O.P tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan rakan mereka, Sung Baek Kyung pada 9 April lalu susulan menjalani penggambaran untuk satu filem Cina.

Biarpun hubungan rapat mereka diperkatakan peminat, kisah cinta Taeyang dengan aktres Korea, Min Hyo Rin turut mendapat perhatian ramai.

Apatah lagi kedua-dua mereka dilihat berjalan dengan penuh romantis di Hannam-dong, Seoul, minggu lalu.

Pasangan kekasih itu dilihat memakai topeng mulut untuk merahsiakan kehadiran mereka dalam kalangan peminat. Tapi, kehadiran mereka tetap berjaya dihidu peminat.

Sejak pasangan selebriti itu terbuka mengenai hubungan cinta mereka pada Jun tahun lalu, mereka sering dilihat meluangkan masa bersama.

Taeyang dan Min Hyo Rin pertama kali bertemu ketika penggambaran video muzik Taeyang, 1 AM dan terus berkenalan rapat. Min Hyo Rin juga model dan penyanyi yang berada di bawah pengurusan JYP Entertainment.

Mereka berdua juga pernah dilihat menghabiskan masa bersama di Sydney, Australia pada Oktober tahun lalu.

Pada masa ini, Bigbang sibuk dengan siri jelajah konsert Bigbang Made [V.I.P] 2016 bermula 11 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:03 AM