BIGBANG
BIGBANG
Agensi

 

Seoul: Selepas empat tahun berehat, kumpulan BIGBANG akhirnya bakal melancarkan lagu baharu manakala anggotanya T.O.P pula memutuskan untuk tinggalkan agensi pengurusan mereka, YG Entertainment.

Pengumuman itu dibuat agensi terbabit hari ini sekaligus mengakhiri penantian peminat setia kumpulan itu yang sememangnya lama menunggu khabar gembira berkenaan.

"BIGBANG bakal melancarkan lagu baharu pada musim bunga (sekitar Mac) ini. Mereka sudah menyiapkan rakaman lagu baharu itu dan sekarang dalam persediaan untuk melakukan penggambaran muzik video," katanya.

Bagaimanapun, T.O.P tidak akan meneruskan perjalanan bersama YG Entertainment selepas 16 tahun bernaung di bawah agensi terbabit.

"Kontrak ekslusif T.O.P bersama YG sudah tamat dan dia mengambil cabaran dalam pelbagai bidang sebagai artis juga usahawan. Kami menghormati kemahuan T.O.P untuk luaskan skop aktiviti individunya.

"Selain daripada aktiviti promosi bersama BIGBANG, dia berjaya mencapai kesepakatan dengan anggota lain berhubungnya," jelas pengumuman itu.

Namun begitu, T.O.P masih anggota tetap BIGBANG selain G-Dragon, Taeyang, dan Daesung. Dia tetap akan menyertai aktiviti seni kumpulan itu.

"Asalkan syaratnya adalah sesuai, T.O.P akan selalu menyertai aktiviti BIGBANG jikalau dia berkelapangan," tambah agensi itu.

Kali terakhir BIGBANG melancarkan lagu adalah pada Mac 2018 menerusi Flower Road. Kemudian, mereka memasuki kem perkhidmatan tentera dan berehat dari industri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 4:05 PM