AFP

Shanghai: Ferrari memberikan tekanan psikologi menjelang Grand Prix China apabila Kimi Raikkonen dan Sebastian Vettel memintas Mercedes pada sesi ujian bebas kedua semalam.

Raikkonen mencatat masa terpantas sepusingan, 36.896 saat untuk mengatasi Vettel dengan 0.109s, ketika Ferrari mula menunjukkan belang selepas aksi kurang meyakinkan pada dua perlumbaan terawal.

Nico Rosberg yang memenangi perlumban di Australia dan Bahrain, ketiga terpantas dengan 1:37.133s selepas mencatat masa terpantas pada sebelah pagi manakala juara dunia Lewis Hamilton keempat terpantas dalam aksi di Shanghai itu.

Fernando Alonso yang retak tulang rusuk selepas kemalangan menggerunkan pada perlumbaan pembuka tirai, secara rasminya diberi kebenaran pasukan perubatan untuk bertanding selepas mencatat masa ke-12 terpantas pada sebelah pagi.

Dia mencatat masa ke-11 terpantas pada sesi kedua.

Biarpun kurang elemen drama seperti sesi ujian Jumaat setahun lalu apabila seorang peminat China, masuk ke kawasan pit dan meminta supaya dibenarkan memandu Ferrari, masih ada perkara yang mengujakan pada sebelah pagi apabila bendera merah dikibarkan selepas tayar beberapa kereta meletup.

Persaingan di antara Mercedes dan Ferrari pada sebelah tengah hari tidak kurang menariknya apabila Rosberg dan Hamilton beradu tenaga sebelum bekas dua juara dunia dari Ferrari mencatat masa terpantas simulasi kelayakan dengan tayar lebih lembut.

Raikkonen yang menduduki tangga kedua di belakang Rosberg di Bahrain dua minggu lalu jelas tidak gembira apabila menjerit di radio: “Adakah kamu mahu saya teruskan kerana ini memang mengarut!”

Juara dunia empat kali Vettel menduduki tangga ketiga pada Grand Prix Australia ketika enjin Raikkonen terbakar namun di Bahrain, giliran Vettel naik angin apabila enjinnya meletup selepas terbabas.

Namun Vettel memberi amaran terhadap sikap terlalu optimis.

“Kami berdepan hari sederhana tapi ini baru Jumaat jadi saya tidak mahu memberi terlalu banyak tekanan atau mementingkan catatan masa hari ini,” kata pelumba Jerman itu.

“Kami masih boleh memperbaiki keputusan. Satu pusingan sudah cukup untuk layak tapi dalam perlumbaan anda perlu mencatat masa terbaik berturut-turut.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 5:03 AM