LEWIS HAMILTON
LEWIS HAMILTON
Reuters

JUARA dunia Formula Satu, Lewis Hamilton mengatasi pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen apabila mencatat masa terpantas pada hari pembukaan sesi ujian di Grand Prix China, hari ini.

Pelumba Britain itu menamatkan pusingan 5.4km di Litar Antarabangsa Shanghai dengan catatan satu minit, 33.482 saat pada sesi petang, meninggalkan Raikkonen hanya 0.007 saat di belakang.

Rakan sepasukan Hamilton di Mercedes, Valtteri Bottas berada di tangga ketiga dengan ketinggalan 0.033 saat, manakala pendahulu kejuaraan dari Ferrari, Sebastian Vettel di kedudukan keempat, 0.108 saat.

“Kami menguasai semua pusingan yang kami perlukan dan mendapat tindak balas yang baik mengenai jentera,” kata Hamilton.

“Jentera dalam keadaan bagus, tapi kami perlu melakukan beberapa penambahbaikan malam ini. Ferrari pantas dan Red Bull juga kelihatan sangat pantas dalam perlumbaan jarak jauh.

“Ia bagus untuk melihat semua catatan masa yang begitu dekat, tetapi ia bermakna kami perlu mempamerkan persembahan bertaraf A. Kami memerlukan semua orang dalam pasukan untuk berada di sana sepanjang hujung minggu kerana ia adalah usaha bersama,” tambah pelumba Britain.

Pada sesi pagi, catatan terbaik yang berjaya dilakukan Vettel hanya di kedudukan keenam, 0.862 saat di belakang Hamilton.

Hamilton mempunyai rekod mengagumkan di China dan bertekad untuk mengurangkan defisit mata daripada Vettel yang mendahului carta keseluruhan selepas pelumba Jerman itu memenangi dua perlumbaan pembukaan di Australia dan Bahrain.

Sementara itu, pelumba Red Bull, Max Verstappen berada di kedudukan kelima terpantas dalam kedua-dua sesi, mengakhiri sesi ujian dengan ketinggalan 0.341 saat dari Hamilton, manakala pemandu Renault, Nico Hulkenberg keenam.

“Kami menghabiskan sedikit masa ketika sesi pertama hari ini, bekerja keras memperkemaskan jentera untuk lebih baik,” jelas Verstappen.

“Namun, pada penghujungnya ia kelihatan baik dan saya fikir kami boleh berpuas hati dengan prestasi jentera itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 7:42 PM