Zainol (kanan) dan anaknya Zahirah. FOTO Arkib NSTP
Zainol (kanan) dan anaknya Zahirah. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Pelakon Zainol MacWilson menafikan dia sering berfoya-foya menggunakan wang anaknya yang juga pelakon Zahirah MacWilson.

Zainol, 57, berkata, dia memang ada meminta wang daripada anaknya itu tetapi tidak menggunakannya untuk tujuan berfoya-foya.

“Zahirah anak saya dan kedudukan kewangan saya tidak stabil ketika itu. Jadi sebagai bapa, saya rasa tidak salah kalau saya meminta wang daripadanya. Saya tak pernah gunakannya untuk berfoya-foya. Saya rasa dia faham mengenai perkara ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zainol, dia yang membesarkan Zahirah dan nama anaknya itu dikenali sebagai pelakon juga atas usahanya.

“Ramai yang tak tahu saya yang menghubungi pengarah Rashid Sibir bertanyakan peluang buat Zahirah. Rashid kemudian menawarkan dia berlakon drama Tanah Kubur.

"Selepas itu barulah dia didatangi tawaran lain seperti drama Mencintaimu,” katanya.

Zainol berkata, dia tidak tahu dari mana datangnya gosip tidak berasas itu serta mengaitkannya sebagai ‘playboy’.

“Sebenarnya saya seorang peramah. Jadi, mungkin ada yang salah anggap. Mungkin juga disebabkan saya dikenali membuatkan pergerakan saya sentiasa diperhatikan," katanya.

Dalam pada itu, Zainol mengaku dia sudah bercerai dengan isterinya Maslinda Yusof pada November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 6:10 PM