Najiy Jefri


BAPA pelakon Zahirah Macwilson, Zainol Macwilson membidas kenyataan aktor Zul Ariffin sebelum ini yang menyifatkan dirinya perlu lebih ‘gentleman’ dan matang.

Zainol ditemui berkata, dia tidak faham apa maksud yang ingin disampaikan Zul.

“Usia saya kini sudah menjangkau 60 tahun. Saya sudah berkahwin dua kali dan ada empat anak yang sudah besar.

“Terus terang saya tak faham dengan maksud Zul yang mengatakan saya harus lebih matang sedangkan saya lebih lama hidup dan faham dengan asam garam kehidupan,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Zainol, dia tidak pernah menghalang anaknya berkawan dengan Zul namun dia harus faham maksud sebenar berkawan itu.

“Saya difahamkan mereka masih lagi berkawan. Saya tiada masalah sekiranya Zul mahu terus berkawan dengan Zahirah.

“Saya juga tidak pernah kata tak suka padanya. Cuma saya mahu dia faham definisi berkawan yang dikatakannya selama ini,” katanya.

Zainol berkata, seboleh-boleh tidak mahu Zahirah menjalin cinta kerana usianya masih muda dan mempunyai potensi besar sebagai pelakon.

“Saya selalu nasihat kepadanya supaya tidak mudah tergoda atau terjebak dengan percintaan sesama artis.

“Saya tak nak dia hanyut kerana cinta. Saya mahu dia fokus terhadap karier kerana masih muda dan mempunyai potensi besar sebagai pelakon.

“Lagipun perjalanannya masih jauh. Dia tidak perlu bimbang, saya pasti ramai lelaki akan terpikat dengannya apabila tiba masa nanti. Saya tak nak dia dipergunakan oleh mana-mana lelaki buat masa ini,” katanya.

Zul dalam satu kenyataan sebelum ini keliru dengan tindakan bapa kekasihnya, Zahirah mengeluarkan kenyataan sinis di media sosial sehingga mencetuskan spekulasi seolah-olah hubungan mereka tidak baik dan direstui.

Zul dalam kenyataan berharap, Zainol bersikap matang dan berterus terang sekiranya tidak merestui hubungan cinta mereka berdua daripada menggunakan media sosial sebagai medium.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 5:43 PM
Zainol (kiri) bidas kenyataan Zul (kanan) yang mengatakan dia perlu lebih matang dan gentleman. FOTO Instagram/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Zainol (kiri) bidas kenyataan Zul (kanan) yang mengatakan dia perlu lebih matang dan gentleman. FOTO Instagram/NUR ADIBAH AHMAD IZAM