LAKUKAN eksperimen sendiri untuk setiap perisa baru kopi bagi mendapatkan rasa seimbang.
LAKUKAN eksperimen sendiri untuk setiap perisa baru kopi bagi mendapatkan rasa seimbang.
NADIA pengusaha Perfectto Chocolate & Coffee membuka gerai di Kompleks Akademik A, UPM.
NADIA pengusaha Perfectto Chocolate & Coffee membuka gerai di Kompleks Akademik A, UPM.
Siti Farahiyah Aziz


Kopi sangat sinonim dengan lelaki kerana hampir semua lelaki meng­gemari kopi berbanding wanita. Sebaliknya, berbeza dengan gadis muda kelahiran Kota Kinabalu, Sabah, Adee Nadia Deelaila Ngadiman, 22, sangat peka dengan kepelbagaian rasa kopi membuatkan dia tertarik memulakan perniagaan minuman kopi.

Perwatakan yang sentiasa ceria membuatkan celotehnya ketika berkongsi cerita sepanjang proses memulakan perniagaan menarik minat penulis.

Bertentangan dengan kursus yang dipelajarinya kini iaitu dalam bidang Bahasa Inggeris (Linguistik) di Universiti Putra Malaysia (UPM) tidak menjadi penghalang untuknya mencuba sesuatu yang berbeza kerana terlalu gemar kopi dan keinginan berkongsi dengan orang ramai.

RAKAN KONGSI

Perkenalan rakan kepada rakan akhirnya menemukannya dengan pengasas Perfetto Chocolate & Coffee Razwan Taib, 29. Pengasas minuman berkenaan dengan senang hati menerima kehadiran Nadia sebagai rakan kongsi.

“Sejak itu, saya mengorak langkah bersama seorang lagi rakan kongsi Mohd Azraei Hazny, 26, dengan menyatakan hasrat untuk memasarkan minuman itu di UPM.

“Kemudian, dengan kelebihan diri yang berbeza, Nadia menawarkan diri melakukan sesuatu yang baru dengan mencipta perisa sendiri mampu memenuhi cita rasa masyarakat tempatan,” katanya.

PEMBENTANGAN KERTAS KERJA

Di bawah program Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM, Nadia dan Azraei membentangkan perniagaan mereka bersama 16 pembentang lain pada Mac tahun lalu.

Menurut Nadia, pelbagai persediaan dilakukan supaya tidak berlaku kesilapan ketika pembentangan kerana sudah pasti setiap pembentang ada strategi pemasaran perniagaan masing-masing.

“Alhamdulillah, pembentangan itu berjaya meyakinkan pihak CEM dan kami dibenarkan berniaga di dalam kawasan kampus yang ditetapkan. Selain itu, kami turut ditawarkan sebuah kedai di Kompleks Akademi A dan kami jangkakan pembukaan itu dilakukan sekitar September ini,” katanya.

CABARAN

Selepas mendapat kelulusan, kami memulakan perniagaan pada November tahun lalu bagi melihat maklum balas terhadap kopi dan perisa yang digabungkan.

“Cabaran utama kami ketika memulakan perniagaan adalah berkenaan lokasi. Kesukaran yang kami alami apabila tidak dibenarkan berniaga di kawasan tertentu dan sewa yang agak tinggi bagi pelajar.

“Pernah juga berbincang dengan pemilik gerai jualan untuk berkongsi ruang secara berbayar, namun pada saat akhir kami mendapat maklum balas yang sebaliknya.

“Sejak itu, kami memikirkan alternatif lain yang boleh meminimumkan kos serta memahami masalah yang kami alami. Akhirnya, kini kami berkongsi kedai dengan pelajar lain buat sementara waktu,” katanya.

PROSES MENENTUKAN PERISA

Setiap rasa kopi ada ramuannya. Begitu juga dengan kopi yang dijual oleh Perfetto Chocolate & Coffee. Walaupun tidak memprosesnya sendiri, tiga anak muda ini bersama-sama membuat pemilihan beberapa jenis kopi untuk dijadikan adunan yang lazat dan seimbang.

“Saya penggemar kopi. Disebabkan itu, saya cuba menghasilkan kopi yang lazat dinikmati oleh semua penggemar kopi kerana tidak mahu berniaga disebabkan oleh trend semata-mata, sebaliknya untuk jangka masa panjang.

“Di sini kami turut menyediakan beberapa perisa lain seperti coklat, teh hijau dan strawberi bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan mengikut kegemaran mereka.

Sehingga kini kami sentiasa menjaga kualiti rasa supaya tidak berubah dari semasa ke semasa kerana proses penyediaan dilakukan secara manual,” katanya.

PENERIMAAN PELANGGAN

Sepanjang tempoh lima bulan sejak November tahun lalu, Nadia sentiasa mendapatkan maklum balas mengenai produk minumannya kerana bimbang terhadap penerimaan pelanggan terhadap sesuatu yang baru.

“Apabila melihat pelanggan yang sama datang membeli minuman, Nadia sentiasa bertanyakan pendapat mereka berkenaan minuman yang mereka nikmati sama ada memenuhi cita rasa atau sebaliknya.

“Setakat ini, maklum balas daripada pelanggan sangat memuaskan dan ada di antara mereka yang ­meminta Nadia membancuh mengikut cita rasa mereka seperti kurang atau lebihkan rasa manis dan kepekatan.

PERANCANGAN AKAN DATANG

Selepas perniagaan minuman ini sudah stabil di UPM, Nadia berhasrat meluaskan lagi pasaran ke setiap universiti di Malaysia kerana di samping berniaga, dia mahu membantu pelajar lain menjana pendapatan sampingan.

“Selain itu, saya yakin setiap orang mempunyai kelebihan diri yang mungkin boleh dikongsi bagi menghasilkan sesuatu yang lebih baik.

“Ilmu dan proses pembelajaran itu tidak akan habis, dan tidak sekiranya kita berkongsi ilmu yang ada untuk sama-sama mendapat kejayaan dalam hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 12:20 PM