MOHD Ariff menjual kopi menggunakan SUV yang diubah suai menyerupai kafe. FOTO Hasriyasyah Sabudin
MOHD Ariff menjual kopi menggunakan SUV yang diubah suai menyerupai kafe. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Raja Noraina Raja Rahim


MENGAMBIL inspirasi daripada peniaga kopi kenderaan saji di New Zealand, seorang pesara tentera tampil menjual minuman itu menggunakan kenderaan dengan caranya tersendiri.

Mohd Ariff Saharudin, 45, akan membuka bonet belakang kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Sportage dan menyusun pelbagai peralatan membancuh kopi di atas meja di tepi jalan.

Uniknya, kenderaan digunakan itu sudah diubah suai sepenuhnya menyerupai kaunter membancuh kopi seperti di kafe yang menyediakan minuman itu sebagai hidangan utama.

Mohd Ariff berkata, idea menjual minuman itu timbul selepas dia mengikut isteri menghadiri kursus di Australia selama setahun dan bercuti di New Zealand pada 2004.

Dia yang ketika itu bekerja sebagai jurulatih fizikal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil cuti tanpa gaji bagi menemani isteri.

Katanya, dia amat meminati minuman kopi dan di sana dia sering berkunjung ke kafe yang menjual kopi lalu tertarik dengan bau harum serta keenakan rasanya.

“Apabila bercuti ke New Zealand, saya lihat ada peniaga menggunakan van untuk menjual kopi di tepi jalan dan tertarik dengan konsep itu.

“Saya mula memasang niat untuk melakukan perkara sama apabila kembali ke Malaysia. Ketika itu juga saya berangan-angan untuk menyediakan bancuhan kopi terbaik khas buat pelanggan.

“Sebaik pulang ke Seremban pada 2005, saya mula membeli mesin dan peralatan membancuh kopi sedikit demi sedikit. Saya kemudian mengubah suai SUV mengikut idea sendiri dan semua dilakukan itu menelan kos lebih RM50,000,” katanya di rumahnya di Rasah, di sini, semalam.

Menurut Mohd Ariff, dia memulakan perniagaan secara sambilan sebelum melakukan sepenuh masa selepas bersara pada 2017.

Katanya, dia berniaga di tepi jalan di Ampangan dan Sendayan setiap hari kecuali Selasa secara bergilir-gilir antara jam 7 pagi hingga 11 pagi dan pada hujung minggu pula jam 6 petang hingga 12 tengah malam di Sendayan.

Katanya, apa dilakukan itu kerana minat dan mahu berkongsi kenikmatan rasa kopi dengan pelanggan, selain mengisi masa terluang.

“Saya tidak mengharapkan pulangan lumayan sebaliknya berpuas hati apabila pelanggan memuji rasa kopi yang dibancuh. Adakalanya, tiada pelanggan yang datang dan saya hanya bancuh kopi untuk minum sendiri.

“Untuk membuat seni kopi contohnya bentuk bunga dan hati pada lapisan permukaan minuman menuntut masa agak lama sebelum boleh menghasilkan hiasan yang cantik.

“Selain itu, pembancuh kopi perlu mengetahui teknik betul untuk mendapatkan hasil yang baik seperti sukatan tepat. Sekiranya salah, kopi tidak akan menjadi. Semua itu saya kaji dan belajar sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 4:30 AM