DARI kiri, Failus Salleh, Kamarudin, dan Aim Crossfire.
DARI kiri, Failus Salleh, Kamarudin, dan Aim Crossfire.
Ridzuan Abdul Rahman


Buat julung kalinya pencinta muzik berpeluang menyaksikan pertandingan bertemakan dakwah dan kerohanian menerusi penganjuran Battle Of Islamic Bands (BOIB).

Pertandingan anjuran Komuniti Ihsan Batu Pahat dengan kerjasama Muslim Care Malaysia Society akan berlangsung di Dataran Penggaram, Batu Pahat, Johor pada 31 Ogos ini.

Jurucakap penganjur, Kamarudin Kepol, Aim Crossfire dan Failus Salleh yang hadir ke Balai Berita berkata, matlamat konsert ini bagi menunjukkan penghijrahan penggiat seni ke arah lebih positif.

“Dahulu kami pemuzik dan pernah terbabit dalam pertandingan Battle Of The Bands. Kami terfikir ada baiknya anjurkan pula pertandingan yang lebih menjurus kepada nilai murni.

“Justeru, untuk pertandingan BOIB, kami menetapkan syarat tertentu agar matlamat kami tak menyimpang antaranya hanya peserta lelaki yang boleh mengambil bahagian.

“Selain itu, kami juga menetapkan setiap peserta perlu tampil dengan tazkirah ringkas bagi mengupas lirik lagu yang disampaikan. Ia bukanlah satu syarat yang terlalu susah untuk dilaksanakan,” kata Kamarudin yang juga pengarah program.

Syarat lain yang ditetapkan adalah warganegara Malaysia, menyanyikan lagu bertema ketuhanan dan nasihat serta berpakaian sopan.

Aim pula berkata, mereka tidak mengehadkan genre kerana tidak mahu menyekat kreativiti pemuzik.

“Kami ada menetapkan lagu tertentu seperti Anugerah (Wings), Janji Ilahi (May), Realiti Dan Fantasi (Crossfire) dan Seruan (Lefthanded). Namun mereka boleh mainkan lagu lain dan tukar liriknya agar lebih positif.

“Matlamat kami mahu berdakwah. Selain peserta, peminat yang datang juga sedikit sebanyak akan memperoleh ilmu. Inilah cantiknya Battle Of Islamic Bands yang kami tampilkan.

“Kami amat tegas dengan soal pemakaian peserta. Hasrat kami mahu menukar perspektif masyarakat yang selama ini menganggap hiburan melalaikan. Kalau dulu pemuzik akan ‘banging’ atas pentas, mungkin kali ini boleh tukar kepada zikir,” katanya yang juga penyanyi asal lagu Realiti Dan Fantasi.

Selain pertandingan membabitkan pemuzik, peminat yang hadir akan turut disajikan tazkirah yang disampaikan Ustaz Radzi, bekas vokalis kumpulan Melissa.

“Pertandingan akan bermula dari pagi dan setiap kumpulan diberikan tempoh 10 minit untuk beraksi. Persembahan akan dihentikan setiap kali masuk waktu solat dan sesi tazkirah Ustaz Radzi akan berlangsung pada jam 8 malam selama 30 minit.

“Beliau akan menyentuh topik berkenaan dakwah dan seni. Final akan berlangsung pada jam 9.30 malam dan dijangka berakhir 11 malam.

Barisan juri terdiri daripada Ustaz Radzi, Zuar XPDC dan Burn Crossfire,” kata Kamarudin.

Yuran penyertaan ditetapkan ialah RM100 dan pemenang akan menerima wang tunai RM3,000, RM2,000 untuk tempat kedua dan RM1,000 tempat ketiga. Beberapa kategori lain juga turut diwujudkan.

Maklumat lanjut mengenai Battle Of Islamic Bands boleh diperoleh menerusi Facebook rasmi Battle Of Islamic Bands.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 9:53 AM