NAZIM.
NAZIM.
myMetro

Sejak berita pertunangan Nazim Othman, 32, dan Bella Dally, 25, diketahui umum, ramai tidak sabar menunggu detik bersejarah pasangan pelakon ini disatukan sebagai suami isteri.

Tidak berganjak daripada jawapannya sebelum ini, Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman belum bersedia berkongsi tarikh perkahwinan mereka.

"Memang tarikh nikah sudah ditetapkan tetapi buat masa sekarang saya belum boleh kongsi perincian majlis. Saya perlu ambil masa lagi kerana tidak mahu tergesa-gesa dalam perkara ini.

"Bagi saya, apa-apa saja boleh berlaku. Pada masa sama, beberapa perkara perlu dipertimbangkan termasuk jadual kerja saya.

“Jika pada waktu itu tidak sesuai, saya akan menangguhkannya dulu. Namun, saya tetap akan berkahwin tahun ini juga,” katanya.

Sambung pelakon drama Cinta Teruna Kimchi ini, Bella lebih teruja menguruskan majlis perkahwinan mereka berbanding dirinya yang bersikap santai.

Nazim berkata, dia dan Bella sudah membahagikan tugas apabila Bella menguruskan majlis nikah manakala dia pula resepsi.

“Insya-Allah, majlis nikah dan resepsi sebelah pihak perempuan akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah. Manakalah dua lagi majlis bersanding akan diadakan di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

“Lokasi dan busana perkahwinan sudah ada,” katanya.

Ditanya mengenai tajaan perkahwinan, Nazim tidak mahu disamakan dengan artis lain.

“Saya faham ramai mengharapkan majlis kahwin saya dan Bella berlangsung meriah dan penuh gilang-gemilang. Tetapi, cara saya berbeza dengan artis lain.

“Ikut perancangan asal saya mahu bersederhana saja iaitu majlis nikah dan sanding diadakan pada hari sama. Bagaimanapun, apabila ia sudah membabitkan keluarga, perancangan asal bertukar malah majlis bertambah.

“Apabila difikir balik, saya juga perlu menghormati permintaan mereka. Kalau ikut hati, saya ingin melangsungkan majlis terbabit di Kuala Lumpur saja. Namun, bapa meminta saya mengadakan majlis di Johor Bahru kerana saudara-mara ramai di sana,” katanya.

Selamat tinggal K-pop

Sebelum ini Nazim antara selebriti tempatan yang meminati artis K-Pop.

Malah, pada 2014 Nazim pernah mengeluarkan kenyataan untuk menerbitkan single rancak yang menerapkan elemen K-Pop.

Bagaimanapun, lagu berjudul Destinasi yang sudah siap dirakam bersama video muzik tidak diperdengarkan kepada umum dengan alasan ia sudah tidak relevan.

Menurut pelakon drama Akulah Balqis ini, seiring dengan peningkatan usia dia sudah tidak lagi meminati K-Pop.

“Kalau dulu memang ya tetapi sekarang tidak lagi. Saya sudah berusia jadi tidak sesuai dengan muzik seperti itu.

“Bukan saja muzik, malah keterujaan nak bertemu artis K-Pop sudah tidak ada. Saya kini dalam perancangan menerbitkan single berjudul Cerita Kita yang sudah siap dirakam sejak dua tahun lalu,” katanya.

Kongsi Nazim, lagu bergenre balada itu lebih sesuai dengan jiwanya yang mudah tersentuh.

Sambung Nazim, lagu itu masih berada dalam simpanannya kerana belum yakin dengan penerimaan peminat terhadap bakat nyanyiannya.

“Saya bercadang melancarkan single ini selepas tamat program Gempak Superstar. Dari situ baru orang lebih yakin dengan kemampuan saya.

“Bukan apa, menerusi program itu saya akan menyanyikan lagu pelbagai genre. Sekurang-kurangnya penonton boleh menilai sama ada saya boleh menyanyi atau tidak,” katanya yang meminati genre R&B.

Mengenai pembabitannya dalam program itu, Nazim menjadi peserta terakhir yang menyatakan persetujuan berikutan sikapnya yang terlalu cerewet.

Malah, Nazim tidak segan mengakui dia terpaksa meletakkan beberapa syarat kepada pihak produksi.

“Bukan mudah untuk saya terima tawaran program ini. Saya tidak mahu kelihatan bodoh di atas pentas dan disebabkan itu saya letakkan beberapa syarat kepada pihak Astro.

“Selepas berpuas hati dengan apa yang disenaraikan, saya bertanya siapa peserta yang paling kompleks untuk diuruskan, jawab mereka saya.

“Kalau nak tahu, saya memang jenis yang sangat terperinci dan mementingkan kesempurnaan dalam segala hal. Saya tidak mahu sekadar main tangkap muat,” katanya.

Menerusi progam itu, Nazim bakal berentap dengan sembilan lagi peserta iaitu Izreen Azminda, Sherry Ibrahim, Tasha Shilla, Raja Ilya, Siti Elizad, Soffi Jikan, Arja Lee, Ryzal Jaafar dan Dazrin Kamarudin.

Konsert pembukaan akan bermula pada 10 April ini dan ditayangkan secara langsung di saluran Astro Ria (104).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:02 AM