KENYATAAN Nazim yang dia sudah bertunang dimuat naik ke Instagram.
KENYATAAN Nazim yang dia sudah bertunang dimuat naik ke Instagram.
Oleh Sudirman Mohd Tahir

sudirman@@hmetro.com.my

Berita pertunangan pasangan pelakon, Nazim Othman, 32, dan Bella Dally, 25, mengejutkan banyak pihak. Apatah lagi pasangan ini berjaya menyimpan rahsia itu sejak mereka mengikat tali pertunangan pada 14 November tahun lalu.

“Sejak awal perhubungan lagi iaitu empat tahun lalu, kami sudah berjanji tidak mahu mensensasikan kisah peribadi sebaliknya fokus kepada kerjaya. Ditambah pula saya jenis sukakan privasi berkenaan hal peribadi.

“Sebab itu apabila kami bertunang, perkara itu senyap saja. Kami bimbang apabila perkara itu heboh ia akan memberi tekanan. Bukan apa, soal perkahwinan ini sangat besar maknanya buat kami selepas menunggu bertahun-tahun lamanya,” katanya.

Jelas Nazim, dia mahu melangsungkan perkahwinan dalam keadaan tenang tanpa sebarang desakan atau tekanan mana-mana pihak.

“Saya bukan sengaja, sebaliknya lebih bersikap ‘low profile’. Apatah lagi saya bukan jenis suka menjaja kisah peribadi. Apa saya lalukan itu lebih kepada belajar dari pengalaman orang lain.

“Ikutkan saya mahu beritahu perkara ini apabila persiapan kahwin kami sudah siap, tetapi apabila ada media bertanyakannya, terpaksa saya berkongsi cerita,” katanya.

Sepanjang empat tahun, Nazim mengakui turut melalui pasang surut perhubungan dengan Bella. Malah, mereka pernah putus seketika pada 2014.

“Meskipun ketika itu terdapat masalah dalam hubungan kami, saya tetap berpegang pada prinsip. Berdiam diri adalah lebih baik. Apabila kami bersama semula, saya anggap itu adalah jodoh dan ketentuan Allah. Sepanjang kami bersama, saya sudah mengenali hati budi dan pekertinya. Insya-Allah, saya sudah bersedia ke fasa seterusnya iaitu berkahwin,” katanya.

Menurut Nazim, kesetiaan dimiliki tunangnya itu menyakinkan dia Bella adalah jodoh yang ditetapkan untuknya. Selain menyifatkan mereka saling menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing.

“Bella adalah gadis yang sangat istimewa. Dia saja boleh faham dan tahan dengan saya. Lebih terharu apabila dia sentiasa ada bersama saya ketika susah atau senang.

“Malah, ketika saya terlantar sakit di hospital, dia sanggup meluangkan masa menjaga saya. Itu antara faktor yang membuatkan saya lebih yakin untuk berkahwin dengannya,” katanya.

Kata Nazim, dia dan Bella sudah mula bercakap perihal kahwin sejak tiga tahun lalu namun kedua-duanya belum bersedia. Kini selepas bertunang, Nazim dan Bella mempersiapkan diri menuju hari bahagia mereka.

Meskipun belum bersedia berkongsi tarikh pernikahannya, Nazim bagaimanapun memberikan gambaran hari bahagianya itu berlangsung tidak lama lagi.

“Apa saya boleh katakan, persiapan majlis perkahwinan dalam perancangan. Insya-Allah majlis akan diadakan tidak lama lagi. Cuma, bila dan di mana majlis berlangsung, saya akan kongsi apabila semuanya sudah bersedia,” katanya.

Menurut Nazim, dia melamar Bella pada 26 Oktober lalu ketika mereka menjalani penggambaran drama Akulah Balqis di Langkawi.

Kemudian pada 14 November Nazim menghantar rombongan meminang Bella di Kota Kinabalu iaitu ketika dia berada di Korea menjalani penggambaran drama. Berkongsi majlis perkahwinan mereka,

menurut Nazim, mengikut perancangan asal dia dan Bella mahu mengadakan majlis nikah dan bersanding pada hari sama.

“Kami mahukan majlis yang ringkas. Tidak

mahu seperti perkahwinan biasa yang mengadakan majlis besar-besaran. Namun, selepas mengadakan perbincangan dengan kedua-dua keluarga, mereka memberikan pendapat berbeza. Mahu atau tidak, kami perlu akur.

“Jadi, kami bersetuju mengadakan majlis nikah dan sanding pada hari berbeza. Kiranya, perancangan nak mengadakan majlis ringkas tidak kesampaian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 5:01 AM