Nazim bersama Bella menjalani penggambaran di Turki. FOTO NAZIM O’ BELLA
Nazim bersama Bella menjalani penggambaran di Turki. FOTO NAZIM O’ BELLA
Sudirman Mohd Tahir


BERSEMPENA sambutan ulang tahun pertama perkahwinan pasangan Nazim Othman dan Bella Dally hari ini, Nazim menghadiahkan isterinya muzik video rasmi lagu Kerana Cinta yang bakal dilancarkan jam 8 malam ini di saluran YouTube, Raksasa Record.

Nazim, 33, berkata, muzik video itu adalah kesinambungan daripada video pra perkahwinan mereka yang memaparkan jalan cerita pasang surut kehidupan rumah tangga dilalui sepanjang tempoh setahun.

"Penggambaran muzik video ini dijalankan pada Mei lalu di Cappadocia, Istanbul. Keseluruhan jalan cerita adalah idea saya mengenai kehidupan rumah tangga kami. Saya memaparkan alam sebagai metafora.

"Muka bumi Cappadocia yang berbukit bukau sebagai tanda hidup ini ada turun naik, tetapi kami tetap bersama menempuh alam rumah tangga. Orang kata, laut bergelora boleh ditempuh jika ada kesabaran dalam diri," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nazim, lirik dan muzik video lagu nyanyiannya itu didedikasikan buat Bella yang setia bersamanya di saat jatuh bangun dan susah senang sebelum mereka berkahwin lagi.

"Saya sengaja memilih tarikh hari ini bagi melancarkan muzik video ini. Apatah lagi hari ini adalah hari bersejarah saya dan Bella apabila disatukan sebagai suami isteri. Bagi saya ini hadiah paling bermakna daripada saya untuknya.

"Saya berharap peminat dapat memahami lirik lagu ini dengan kisah Bella yang sentiasa setia bersama saya dari dulu sehingga sekarang," katanya yang kini bercuti di Maldives.

Februari lalu perkahwinan Nazim dan Bella didakwa berantakan gara-gara tindakan Bella memadam gambar mereka di laman Instagram.

Namun perkara itu dinafikan Nazim dan menyifatkan hubungan mereka masih baik dan bahagia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 4:39 PM