Aziman Rosdi


Petaling Jaya: Pengendali Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee (gambar) mahu anak buahnya menggunakan kesempatan terbaik untuk melepasi pusingan play-off Piala Asia 2019 selepas lawan mereka Timor Leste menawarkan diri bermain aksi timbal balik di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 2 dan 7 Jun ini.

Mengikut ketetapan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sebelum ini, skuad kebangsaan perlu bertandang ke Dili bagi perlawanan kedua play-off itu selepas aksi pertama di Larkin, namun atas beberapa faktor termasuk keadaan stadium, Timor Leste memohon mengubah venue perlawanan itu.

Ia pasti berita baik buat skuad kendalian Kim Swee yang sebelum ini bimbang terpaksa bermain di sebelah petang ketika Ramadan serta keadaan padang yang kurang baik di Dili.

“Sudah tentu dari segi bermain di tempat sendiri akan memberi sedikit kelebihan tapi ia bukan bermakna jalan mudah. Kita perlu pastikan kita membuat persiapan terbaik kerana kita tahu Timor Leste juga tidak perlu mengharungi perjalanan jauh semula bagi perlawanan kedua.

“Paling mustahak kita perlu ambil kesempatan dengan adanya penyokong kita di Johor nanti. Saya harap kita mampu capai kejayaan di laman sendiri dan layak ke peringkat seterusnya,” kata jurulatih kebangsaan itu dalam sidang media Harimau Malaysia semalam.

Selepas gagal layak secara merit apabila menduduki tangga keempat Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia 2018/ Piala Asia 2019, peluang Malaysia untuk beraksi di pusingan terakhir kelayakan Piala Asia masih terbuka apabila diundi bertemu Timor Leste dalam aksi play off.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, kesediaan Timor Leste untuk mengubah venue perlawanan kedua play-off itu di Larkin disuarakan sendiri Presiden Persekutuan Bolasepak Timor Leste (FFTL) Francisco Kalbuady Lay kepadanya semalam.

“Saya sudah dihubungi dan berbincang dengan Presiden Timor Leste (FFTL) yang mereka setuju bermain di Larkin. Jadi pihak Timor Leste akan hantar surat kepada AFC untuk mendapat kelulusan sebelum kita muktamadkan perkara itu, tapi secara lisan kedua-dua pihak sudah bersetuju,” katanya.

Bagi persediaan sebelum pertembungan dengan Timor Leste, Kim Swee akan mula mengumpul pemain pada 22 Mei sebelum mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Myanmar di Yangon enam hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 9:22 AM