REKAAN egronomik dan pelbagai ciri baru  menyeronokkan.
REKAAN egronomik dan pelbagai ciri baru menyeronokkan.
Oleh Badrila Jamlus


Kehadiran model telefon pintar Samsung Galaxy S7 edge tentunya mengubah dimensi baru dalam dunia telekomunikasi yang sentiasa berubah pantas. Selepas kejayaan cemerlang menerusi siri S6 edge yang diperkenalkan pada 2015 dan pertama kali mencipta kelainan dalam bentuk kedua-dua kiri dan kanan yang lengkung, ciri berkenaan terus dikekalkan pada model S7 edge.

Bagaimanapun, rekaan baru model terkini ini lebih ergonomik, kemas, lengkung cantik dengan bahan buatan yang bermutu tinggi menjadikan telefon ini lebih menawan kepada pengguna.

Jika dulu, lensa pada kamera belakang agak tersembul, namun kali ini ia lebih nipis dan seakan tidak kelihatan daripada pandangan tepi.

Telefon ini juga mengembalikan semula slot kad memori mikroSD untuk membolehkannya menampung kapasiti storan sehingga 200GB. Meskipun ciri kamera belakangnya direndahkan daripada 16 megapiksel kepada 12 megapiksel, kualiti imejnya amat tinggi tidak kira siang atau malam manakala kamera hadapannya pula masih 5 megapiksel.

S7 edge adalah telefon pintar pertama dunia yang menggunakan ciri Dual Pixel apabila kemampuan kameranya ditambah baik dengan apertur seluas f1.7 memasukkan lebih banyak cahaya untuk merakam lebih jelas dalam situasi gelap.

Merakam foto ketika dalam pencahayaan malap kini bukan lagi masalah dengan penambahbaikan pada S7 dan S7 edge yang membenarkan lebih 56 peratus cahaya masuk berbanding S6. Ciri ini dinamakan Phase Detection Pixel menjadikannya 100 peratus lebih baik berbanding model lama.

Tidak dilupakan, ciri Motion Panorama dan Selfie Flash yang baru memberikan pengalaman lebih bermakna kepada aspek merakam gambar hanya dengan menggunakan telefon pintar. Terdapat 10 pilihan mod untuk mengambil gambar daripada mod auto, pro, panorama, video collage, live broadcast, selective focus, slow motion, virtual shot, food dan hyperlapse disediakan.

Bagi anda yang gemar mengambil gambar makanan untuk dimuat naik di laman sosial sebelum menjamahnya, sila pilih mod ‘food’ yang membolehkan imej gambar itu kelihatan lebih menarik dan jelas seperti ciri ‘depth of field’ yang biasa digunakan pada kamera DSLR.

Ciri itu belum lagi ditambah dengan kesan khas yang menjadikan sesebuah gambar itu kelihatan lebih menarik dengan sentuhan kreatif diberikan oleh pengguna telefon pintar terbaru ini.

Tidak lengkap jika gambar yang diambil ini perlu dipadamkan setiap kali mahu disimpan disebabkan kadar storan yang tidak mencukupi. Namun memiliki S7 edge seumpama ‘bulan jatuh ke riba’ kerana anda tidak perlu bimbang kerana ia boleh menyimpan sehing­ga 50,000 keping gambar apabila slot tambahan untuk menyimpan kad memori sehingga 200GB disediakan.

Semua gambar atau video kegemaran boleh disimpan di slot tambahan itu yang terletak di bahagian atas bersama slot kad SIM tanpa perlu bergantung kepada storan dalaman 32GB sahaja. Berbanding model dahulu, ciri berkenaan tidak disediakan dengan slot tambahan.

Ciri slot tambahan itu juga boleh digunakan untuk menyimpan dua kad sim pada satu slot, sekali gus memudahkan anda yang perlu menggunakan dua talian dalam satu telefon.

Sudah pasti kecantikan dan keanggunan S7 edge disokong oleh rekaannya yang sangat menakjubkan. Ia kini memiliki saiz skrin 5.5 inci berbanding S6 edge yang bersaiz 5.7 inci manakala varian S7 masih mengekalkan saiz 5.1 inci, tetapi saiz keseluruhannya kedua-dua telefon ini lebih nipis berbanding model sebelumnya.

Selain ciri kamera yang dipertingkatkan, Samsung S7 edge juga kalis air dan debu apabila menetapkan ciri standard IP68 pada S7 edge sebagaimana ciri berkenaan digunakan pada model S5, namun ia dibuang pada S6.

Tabiat pengguna di negara ini yang mungkin sering lalai ketika memegang telefon terutama dalam tandas atau ketika hujan memerlukan ciri terbabit kerana ciri kalis airnya mampu bertahan 30 minit dengan kedalaman 1.5 meter.

Bagi anda yang gemar bermain game, telefon ini turut memperkenalkan ciri baru dengan penambahbaikan sebanyak 30 peratus pada CPU dan 60 peratus pada GPU berbanding S6 apabila memasukkan fungsi ‘game launcher’ atau pelancar game yang menempatkan aplikasi game yang popular dalam kalangan pengguna telefon pintar.

Pelancar game juga akan menentukan sekiranya pengguna mahu mengoptimumkan kecerahan, penjimatan bateri atau menutup sebarang notifikasi sekiranya sedang bermain game, sekali gus memaksimumkan prestasinya.

Selain itu, ciri UX yang ringkas dan kemas apabila bahagian tepi kini boleh ditetapkan dengan dua baris yang menempatkan ikon berbanding hanya sebelah sebelum ini.

Ciri ikon itu mampu menyediakan sehingga 9 panel di sebelah kanan telefon, malah dengan ciri aplikasi edge, anda boleh mewujudkan sehingga 10 ikon aplikasi ringkas. Mudah bukan, kerana berdasarkan kajian dilakukan mendapati, purata seseorang memeriksa telefon bimbit sama ada mesej dan sebagainya adalah kira-kira 150 kali sehari.

Bagi menyediakan telefon pintar untuk ciri pembayaran mudah alih, S7 edge turut dipadankan dengan ciri Samsung Pay dan ciri keselamatan KNOX.

Untuk menjadi lebih menarik, kamera terbaru Samsung Gear 360, boleh dirakam dan dihubungkan terus kepada telefon ini seumpama sebuah ‘GoPro’. Ciri berkenaan bertambah menarik jika telefon itu digunakan pada peranti realiti maya, Gear VR yang menjadikan tontonan video lebih menyeronokkan. Gear VR bernilai RM459 diberikan secara percuma sebagai salah satu promosi Samsung untuk pembeli awal telefon pintar terbabit.

Namun, skrin home dan kunci yang boleh diubah mengikut cita rasa anda pasti memberi kelebihan tersendiri ditambah pula gabungan bersama OS Android 6.0 Marshmallow memang menawan.

Usah bimbang jika bateri cepat habis kerana S7 edge lebih lama dengan tambahan keupayaan bateri 3600mAh berbanding Galaxy S6 edge dulu yang hanya berkapasiti 2600mAh manakala bateri Samsung S7 (3000mAh).

Malah, penggunaan kecerahan skrin maksimum pun tidak menjejaskan kapasiti bateri, selain tawaran mengecas pantas dengan menggunakan kabel atau tanpa wayar. Tempoh me­ngecas penuh hanya me­ngambil masa 115 minit.

Maka tidak hairanlah telefon ini menerima tempahan lebih 3,000 unit sebelum hari pelancaran rasminya pada 18 Mac lalu. Bagi model terbaru ini, ia hadir dalam pilihan warna Black Onyx, Gold Platinum, White Pearl dan Silver Titanium. Samsung S7 edge dijual pada harga RM3,099 seunit manakala harga bagi Samsung S7 belum diumumkan lagi.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari laman web http://www.samsung.com/my/consumer/mobile-devices/smartphones/galaxy-s/g....

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 10:05 AM