Rosman Shamsudin


Slim River: Seorang jurutera teruja selepas anggur yang ditanam menggunakan benih dari Ukraine bukan sahaja mendapat perhatian malah dilawati oleh Pejabat Kedutaan Ukraine di Malaysia, hari ini.

Lawatan tidak rasmi berkenaan diketuai oleh Duta Ukraine di Malaysia, Olexander Nechytaylobersama kakitangannya, Yevhenia Shynkarenko di tapak tanaman anggur yang diusahakannya di tepi Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Ir Hishamuddin Othman, 57, berkata pihak kedutaan Ukraine mengetahui beliau mengusahakan tanaman anggur yang berasal dari negara terbabit secara fertigasi sejak awal tahun lalu melalui media sosial.

Menurutnya, beliau dihubungi oleh pihak kedutaan berkenaan pada Januari lalu yang berhasrat melawat tanaman anggur yang ditanam di dalam rumah pelindung hujan (RPH).

"Ketika itu, pokok anggur baru sahaja selesai mengeluarkan hasil dan awal bulan ini sekali lagi saya dihubungi mereka yang menyatakan hasrat untuk melawat tanaman anggur.

"Kebetulan buah anggur yang dihasilkan kali ini luar biasa dan berbuah lebat daripada musim pertama menyebabkan saya bersetuju menerima kunjungan pihak kedutaan terbabit," katanya ketika ditemui di Muallim Hortigard and Nursery, dekat sini.

Duta Ukraine dan kakitangannya meluangkan masa kira-kira dua jam melawat dan merasai buah anggur berkenaan dan bangga melihat anggur yang berasal dari negara mereka boleh hidup subur di negara ini.

"Kami sempat bertukar pendapat mengenai tanaman anggur terutama bagaimana saya aplikasikan teknologi pertanian tempatan dalam menanam dan menghasilkan buah anggur yang lebat serta mampu tahan dengan keadaan cuaca dan suhu di negara ini.

" Saya memaklumkan walaupun pokok anggur yang ditanam ini, benihnya berasal dari Ukraine tetapi baja yang digunakan adalah mengikut formula sendiri dengan menggunakan campuran bahan tempatan," katanya.

Katanya, pada masa hadapan beliau berhasrat mengunjungi negara berkenaan bagi mempelajari secara lebih mendalam teknologi pertanian yang digunakan bagi tanaman anggur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 2:21 PM
Duta Ukraine di Malaysia, Olexander Nechytaylo (kanan) semasa melawat tanaman anggur secara fertigasi yang ditanam di dalam rumah pelindung hujan (RPH) oleh jurutera, Hishamuddin Othman (kiri) di Muallim Hortigard and Nursery. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN
Duta Ukraine di Malaysia, Olexander Nechytaylo (kanan) semasa melawat tanaman anggur secara fertigasi yang ditanam di dalam rumah pelindung hujan (RPH) oleh jurutera, Hishamuddin Othman (kiri) di Muallim Hortigard and Nursery. FOTO ROSMAN SHAMSUDIN