Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Pasangan suami isteri tekad mencuba bidang tanaman anggur selepas tidak lagi berminat dengan perniagaan makanan yang dilakukan sejak 12 tahun lalu.

Percubaan Ismail Mohd, 45, dan isterinya, Suhaili Ahmad, 44, nyata membuahkan hasil apabila sejak setahun lalu mereka berjaya menanam 80 anak benih daripada 21 jenis anggur.

Menurutnya, ia bermula selepas mereka tidak dapat meneruskan perniagaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

"Pada mulanya ia hanyalah sebagai eksperimen atau projek rintis (pilot project) sahaja. Saya belajar cara menanam melalui YouTube dan mendapatkan benih dari pelbagai tempat bagi mengisi masa lapang sepanjang tempoh PKP.

"Saya dan isteri nekad beralih arah daripada berniaga kedai makan kepada menanam anggur selepas cubaan pertama itu mula membuahkan hasil apabila pokok yang ditanam dibelakang rumah mula membesar dan berbuah.

"Pada mulanya, ramai yang tidak percaya apabila dimaklumkan tanaman anggur mampu hidup dan membuahkan hasil di Port Dickson kerana ia bukan tanah tinggi (cuaca sejuk) seperti di Cameron Highlands yang biasa kita dengar untuk tanaman buah anggur ini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru Si Rusa di sini, hari ini.

KAWASAN ladang anggur yang dulunya kedai makan yang diusahakan Ismail di Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KAWASAN ladang anggur yang dulunya kedai makan yang diusahakan Ismail di Kampung Baru Si Rusa, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria

Katanya, usaha ini turut dibantu isteri yang turut berminat kerana pokok anggur memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Jaga dia (pokok anggur) tidak susah cuma ia sensitif dengan cuaca hujan kerana boleh menyebabkan buahnya masam atau kurang manis jika air bertakung.

"Bagi mengelakkan pokok anggur ini rosak apabila hujan lebat, kami memasang bumbung penahan haba," katanya.

Ismail berkata, ada pihak mencadangkan supaya usahanya itu dijadikan projek komersial dan berharap kebun anggur ini akan turut menjadi tarikan pelancong ke Port Dickson satu hari nanti.

"Saya tanam pelbagai jenis tetapi yang berbuah baru tujuh jenis antaranya IAC, Jupiter, Isabella, Vales, Dakon, Alfonso dan Red Globe. Saya juga ada menjual benih pokok anggur berharga RM50 hingga RM200 mengikut jenis dan saiz pokok.

"Selain itu, jenis anggur yang mahal baka dari Jepun yang mana pokok jenis ini manja dan sedang membesar dinamakan 'Shine Muscat' yang buahnya besar, manis berharga RM300 sekilo dipasaran," katanya.

Tambahnya, bagi mereka yang berminat, beliau boleh melatih cara menanam dan menjaga tanaman anggur ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 7:55 PM