Dr Mahathir menunjukkan anggur yang dipetiknya ketika melawat Taman Agro Fertigasi di Jalan Mawar, Kampung Sungai Ramal di Kajang hari ini. Foto Ihsan Chedet Official
Dr Mahathir menunjukkan anggur yang dipetiknya ketika melawat Taman Agro Fertigasi di Jalan Mawar, Kampung Sungai Ramal di Kajang hari ini. Foto Ihsan Chedet Official
Mohamad Hussin


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa selama satu jam melawat ladang anggur di Taman Agro Fertigasi di Jalan Mawar, Kampung Sungai Ramal di Kajang hari ini.

Beliau yang memandu sendiri kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 tiba pada 9 pagi dan disambut pemilik taman berkenaan, Marzuki Safiee, 59.

Dr Mahathir kemudiannya melawat ladang anggur dan memetik sendiri buah berkenaan walaupun tempoh matang dua minggu lagi.

Sementara itu, Marzuki berkata, anggur itu ditanam menggunakan kaedah cantuman daripada pokok induk kepada pokok penanti.

“Anggur ini matang dalam tempoh tiga bulan dan ia adalah projek perintis.

“Terdapat lebih 300 pokok anggur yang ditempatkan di rumah pelindung hujan (RPH) yang berkeluasan 80x80, benihnya diambil dari Ukraine,” katanya.

Menurutnya, Perdana Menteri turut melawat ladang tanaman lain seperti rock melon atau tembikai wangi, cili, pokok tin dan asparagus di sekitar kawasan berkenaan.

Kelmarin, Dr Mahathir ketika berucap di majlis perasmian Mesyuarat Agung Dwitahunan Ke-22 Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) menegaskan banyak buah-buahan yang diimport boleh ditanam di negara ini.

Ketika itu, beliau memaklumkan ada melihat gambar seseorang menanam buah anggur.

Dr Mahathir menyatakan buah yang dihasilkan itu kelihatan elok dan nampak seperti anggur yang diimport.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 7:18 PM