Oleh Siti Zarinah Sahib

Ketangkasan Erina Emelina Ismail, melepaskan satu persatu anak panah ketika sesi latihan di pusat memanah di Bow & Arrow begitu mengagumkan. Walaupun bertubuh kecil, gadis manis yang baru mencecah usia 24 tahun ini begitu bersemangat melepaskan anak panah mengenai sasaran.

Malah ketika beraksi pada Kejohanan Memanah Berkuda Antarabangsa di Pusat Ekuestrian dan Sukan Selangor Turf Club (STC) Kuala Lumpur baru-baru ini, peserta dari Malaysia ini mendapat pujian pemanah luar negara disebabkan kebolehannya menunggang kuda dan tangkas melepaskan anak panah mengenai sasarannya.

Menceritakan lebih lanjut mengenai minat dalam sukan memanah berkuda, ketika menuntut dalam jurusan kejuruteraan mekatronik di Universiti Teknologi MARA (UTM) Skudai, Johor, gadis ini mula berjinak-jinak dalam lapangan pengurusan kuda seperti membersihkan kandang kuda, memberi makan sehingga kepada teknik menunggang dengan betul.

Selepas menamatkan pengajian pada 2013, Erina mula tercari-cari lokasi belajar memanah. Minat ini timbul selepas menonton rancangan televisyen mengenai pemanah berkuda yang tampil hebat dalam pertandingan menyebabkan di berhasrat mempelajarinya.

"Malangnya ketika itu tiada tempat latihan untuk memanah berkuda. Apa yang ada hanyalah memanah tradisional yang lokasinya terletak di Sungai Buloh. Selepas mendapatkan maklumat lanjut, saya terus mendaftar bagi menyertai latihan untuk memanah di Bow & Arrow di bawah latihan Mohd Azizul Idris," katanya.

Tidak menunggu masa lama untuk mahir sepenuhnya, dalam masa sebulan selepas latihan dia ditawarkan menyertai pertandingan memanah peringkat kebangsaan bagi mendedahkan dirinya dengan suasana pertandingan bersama pemanah yang lebih berpengalaman.

"Pertandingan memanah memberi peluang saya mahir dalam pelbagai kategori. Saya juga bertemu dengan pemanah senior serta banyak belajar mengenai teknik dan cara menangani emosi," katanya yang menjalani latihan sekali seminggu.

Oleh kerana Erina mempunyai teknik asas menunggang kuda, dia tidak mahu ilmu yang dimiliki hilang begitu saja. Selepas mendapatkan nasihat daripada jurulatih, dia mencari pusat latihan berkuda yang menyediakan latihan asas menunggang dan memanah.

"Saya bertemu dengan Sarjan Marshal yang juga atlet memanah berkuda yang menyediakan latihan intensif di Pusat Berkuda Tentera Malaysia di Sungai Besi.

"Saya mula mengingati kembali asas berkuda yang saya pelajari dua tahun lalu. Selama beberapa minggu saya dinilai menerusi kemahiran menunggang kuda. Apabila sudah menguasai sepenuhnya, pada Mei lalu saya mempelajari memanah berkuda secara sepenuh masa," katanya.

Menyertai pertandingan peringkat antarabangsa

Sebagai peserta baru sudah semestinya Erina tidak mengidam untuk menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa. Namun jurulatih memberi kepercayaan kepadanya untuk menyertai pertandingan yang tujuan utama bukanlah untuk menang sebaliknya menimba pengalaman berharga bersaing dengan pemanah berkuda dari seluruh dunia.

"Alhamdulillah, saya terpilih bersama tujuh peserta lain mewakili Malaysia dalam Kejohanan Memanah Berkuda Antarabangsa di Pusat Ekuestrian dan Sukan STC dan satu-satunya peserta wanita. Lebih manis apabila saya bertanding dengan pemanah dari 20 negara yang kebanyakan mereka berpengalaman luas dalam sukan ini," katanya.

Sangat gementar ketika kali pertama menunggang kuda, ujar Erina, ini kerana semua peserta sangat handal berbanding dirinya yang baru setahun jagung. Dia perlu melalui tiga kategori pertandingan iaitu menunggang gaya Poland, Korea dan Hungary. Ketiga-tiga gaya itu memberikan kelainan dan cabaran berbeza.

Walaupun tidak membawa pulang sebarang hadiah, daripada maklum balas jurulatih negara lain, Erina mempunyai potensi yang sangat besar dalam bidang ini.

"Bayangkan saya hanya berlatih sekitar enam bulan. Untuk mendapat sebarang anugerah sudah tentu ia masih terlalu jauh. Namun saya gembira kerana bertemu dengan peserta senior yang banyak memberikan nasihat kepada saya," kata anak sulung empat beradik ini.

Sebulan selepas itu, sekali lagi Erina dipilih bersama tujuh peserta lain menyertai pertandingan memanah berkuda 2014 di Korea.

"Setiap pertandingan menjanjikan pengalaman berbeza kerana setiap negara mempunyai asas atau teknik memanah tersendiri. Di sinilah cabarannya apabila pemanah perlu menyesuaikan kuda dan cuaca empat musim di sana," jelasnya.

Sokongan padu keluarga

Sebagai anak tunggal perempuan dalam keluarga, ibunya Fanti Melia Adlis tidak bersetuju dengan pilihan anaknya menceburi sukan memanah berkuda kerana bimbangkan keselamatan anaknya.

Namun Erina membuktikan yang dia benar-benar berkebolehan dan mementingkan aspek keselamatan setiap kali latihan dan pertandingan.

"Akhirnya ibu mengalah apabila melihat saya begitu bersungguh-sungguh membawa nama Malaysia di mata dunia. Sekarang dia yang banyak memberikan sokongan dan menghantar setiap kali ada pertandingan. Malah ayah (Ismail Mohd Dali) turut menjadikan memanah sebagai hobi pada masa lapang," ujarnya.

Melihat remaja lain yang gemar menghabiskan masa lapang bersama kawan-kawan, Erina tidak menyesal dengan jalan yang dipilih.

"Walaupun jadual harian saya padat dengan aktiviti memanah, saya tetap ada masa keluar membeli-belah atau menonton wayang dengan kawan-kawan. Cuma masanya tidaklah sebanyak berbanding rakan lain," katanya yang bertugas sebagai eksekutif di syarikat telekomunikasi.

Menyedari banyak kebaikan diperoleh menerusi memanah berkuda, Erina berharap lebih ramai wanita tampil menyertai sukan ini.

"Memanah menjadikan fikiran lebih fokus manakala berkuda baik untuk kesihatan terutama tulang belakang dan postur diri. Gabungan antara memanah dan berkuda menjadikan mental dan emosi lebih kuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:06 AM